"SEBARKANLAH SALAM DI ANTARA KALIAN"

Friday, July 20, 2012

Ramadhan Bulan Jihad dan Tarbiyyah



MUQADDIMAH
Firman Allah s.w.t.
(beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil). Kerana itu, barangsiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.”(Al-baqarah:185)

Ramadhan adalah bulan yang paling istimewa dalam kalendar Islam. Pada bulan ini umat Islam diwajibkan berpuasa. Objektif pengsyariatan puasa adalah untuk melahirkan hamba Allah yang bertakwa. 

Firman Allah s.w.t:

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa”.(al-baqarah:183)

Ramadhan mempunyai banyak kepentingan yang amat signifikan dalam membentuk insan muttaqin. Kertas kerja yang ringkas ini akan membincangkan tentang Ramadhan dan hubungkaitnya dengan jihad dan tarbiyyah.


PENGERTIAN RAMADHAN, JIHAD DAN TARBIYYAH

Ramadhan adalah bulan yang kesembilan mengikut perkiraan kalendar hijrah. Secara harfiyah, perkataan Ramadhan diambil daripada kalimah (رمضاء), ertinya membakar, hal ini demikian kerana pada bulan ini biasanya haba terlalu panas. Ia juga membawa isyarat bahawa bulan ini membakar dosa.

Jihad adalah kata terbitan (masdar) yang berasal dari perkataan jahada bererti bersungguh-sungguh, memerah tenaga dan berpenatan mengerjakan sesuatu.
 (جاهد العدو)bererti memerangi musuh. Al-Jihad menurut kebanyakan kamus bererti mempertahankan agama daripada musuh Islam. Takrif jihad pada zaman salafus soleh lebih merujuk kepada aspek berperang melawan musuh. Perbincangan kita tentang jihad merangkumi aspek yang luas, bukan hanya aspek peperangan bersenjata sahaja.

Manakala perkataan “ tarbiyyah” berasal daripada kata kerja (رب ، يرب) Rabba-yarubbu yang bermaksud memperbaiki, mengurus, memimpin, menjaga dan memeliharanya (atau mendidik).
Makna tarbiyyah dalam perbincangan kita ialah proses pengembangan dan bimbingan, meliputi jasad, akal, dan jiwa, yang dilakukan secara berterusan. Tarbiyyah adalah salah satu cara untuk menjadikan seseorang bertanggungjawab terhadap tugas yang diamanahkan. Betapa besarnya peranan tarbiyyah dalam menjamin kemurnian dalam memenuhi matlamat dan cita-cita Islam sepanjang zaman. 


RAMADHAN BULAN JIHAD

Memasuki fasa Ramadhan dengan penuh keinsafan mampu melahirkan manusia terbaik, manusia unggul dan berkualiti. Ianya boleh dikatakan sebagai bulan recharge semula semangat jihad. Di tengah kesibukan manusia dengan dunia, Ramadhan merupakan anugerah ilahi yang harus kita dapatkan, sehingga kita keluar dari bulan Ramadhan ini benar-benar menjadi manusia terbaik.

Menelusi sirah Rasulullah s.a.w. dan para sahabat, kita dapati banyak peperangan yang berlaku pada bulan Ramadhan dimenangi oleh umat Islam. Perang Badar, Pembukaan Kota Mekah, Perang ‘Iinu Jaalut yang terjadi pada abad ke-7 Hijriyah, di mana tentera-tentera Islam di bawah pimpinan mamaalik (jama’ dari mamluk) boleh mengalahkan tentera-tentera salib, semuanya terjadi pada bulan Ramadhan. 

Adalah silap jika kita mengatakan bahawa bulan Ramadhan adalah bulan untuk beristirehat kerana letih menahan lapar dan dahaga. Sejarah telah membuktikan bahawa umat Islam mampu mengalahkam musuh Islam pada bulan Ramadhan. Puasa mereka bukan alasan untuk mereka tidak menang. Ramadhan secara tidak langsung menjadi momentum kepada umat Islam untuk berjihad di jalan Allah s.w.t.


JIHAD MELAWAN NAFSU

Perkara yang selalu menjadikan manusia binasa ialah kerana gagal menahan nafsu serakah. Kerana mengikut hawa nafsu manusia berpecah belah, menjadi lupa daratan, gagal membezakan yang mana kaca yang mana intan kerana dikuasai hawa nafsu lantas membelakangi pimpinan wahyu. Apabila nafsu seseorang menguasai diri, maka hatinya dikunci mati.

Firman Allah s.w.t.:

“Dan di antara mereka ada orang yang mendengarkan perkataanmu sehingga apabila mereka keluar dari sisimu orang-orang berkata kepada orang yang telah diberi ilmu pengetahuan (sahabat-sahabat Nabi): "Apakah yang dikatakannya tadi?" mereka Itulah orang-orang yang dikunci mati hati mereka oleh Allah dan mengikuti hawa nafsu mereka.”(Muhammad:16)

Seorang muslim lagi mukmin sentiasa taat kepada Allah dan tidak mengikut perintah hawa nafsu.  Pertembungan antara patuh kepada arahan Allah ataupun menurut kehendak gelojak hawa nafsu sentiasa menimbulkan konflik dalam diri manusia. Untuk mencapai kecemerlangan, seseorang itu memerlukan penglibatan diri dalam jihad berterusan dalam melawan hawa nafsu. Salah satu  jihad hebat yang perlu diamalkan oleh kita ialah puasa wajib pada bulan Ramadhan.


PUASA SEBAGAI PERISAI

Dalam satu hadis diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. memerintah kaum pemuda yang berkemampuan agar berkahwin. Jika tidak mampu hendaklah  berpuasa. Rasulullah s.a.w. lantas menegaskan bahawa puasa itu adalah perisai daripada melakukan maksiat. Dalam kehidupan, akan sentiasa berlaku pertembungan antara haq dan yang batil. Untuk boleh memenangkan yang haq di dalam pertembungan ini, seorang muslim harus memiliki perisai yang kuat sehingga boleh menghalau segala godaan syaitan.

Puasa adalah perisai yang ampuh untuk menghadapi serangan-serangan yang mendatang. Serangan nafsu shawat yang menggila, cintakan pangkat, harta dan tahta, panjang angan-angan dan tamak haloba, semuanya akan dapat dikawal jika amalan puasa dibuat mengikut peraturan. Dalam suasana kehidupan masyarakat kita yang masih amat jauh dari nilai-nilai Islam, peranan puasa Ramadhan menjadi sesuatu yang amat mendasar dalam membentengi jiwa umat dalam menghadapi godaan-godaan syaitan yang tiada henti sehinggalah hari kiamat.


TARBIYYAH DALAM BULAN RAMADHAN

Bulan Ramadhan selalu disebut sebagai “madrasah Ramadhan”. Madrasah ialah tempat seorang murid mendapat didikan dan tarbiyyah. Di sini murid akan belajar ilmu, peradaban, menyemai akhlak-aklak mahmudah dan lain-lain pelajaran.

Madarasah Ramadhan adalah satu institusi tarbiyyah yang direncanakan oleh Allah s.w.t. kepada hamba-Nya. Sebab itu amat rugi dan tercela jika seseorang memasuki Ramadhan kemudian keluar daripada Ramadhan dalam keadaan noda dan dosa belum terampun bahkan semakin bertimbun. Orang ini gagal dalam madrasah Ramadhan.

Antara didikan dan tarbiyyah daripada Ramadhan ialah puasa mendidik manusia supaya pandai menjaga diri. Keistimewaan ibadat puasa ialah ianya sangat berkait dengan keimanan seseorang. Seseorang boleh saja mengaku dirinya sedang berpuasa, walaupun sebenarnya tidak.

Disebut di dalam al-muwatta’, karangan Imam Malik bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “(Allah s.w.t berfirman) : Sesungguhnya dia (hamba) meninggalkan makan dan minum serta syahwatnya kerana-KU. Puasa (yang dia kerjakan adalah) kerana-KU. Puasa adalah untuk-KU. Sedangkan, AKU memberi balasan setiap kebaikan itu dengan sepuluh kali ganda sehingga 700 kali ganda kecuali ibadah puasa. Ini kerana,puasa adalah untuk-Ku dan aku sendiri yang akan membalasnya.

Puasa mendidik kita agar kita agar menumpukan kehidupan akhirat lebih daripada kehidupan dunia. Sebab itu sesorang yang berpuasa rela meninggalkan nikmat dunia yang sementara untuk merebut balasan di akhirat. Jiwa yang terdidik dengan iman akan mendambakan kehidupan akhirat.
.
Puasa mendidik kita supaya benar-benar mempunyai perasaan persaudaraan sesama Islam. Kita mungkin tidak pernah merasai kelaparan jika tidak berpuasa. Tatkala itu perasaan terhadap sesama Islam yang tidak bernasib baik dapat kita rasakan bersama. Perasaan ini akan lebih terasa jika kita menjamu orang untuk berbuka puasa

Sabda Rasulullah s.a.w.:

“Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan kerana iman dan mengharap reda Allah, akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu” (HR Bukhari).

Kalau peluang yang begitu besar ini kita abaikan, peluang mana lagi yang ingin kita ambil. Memang tahun depan, Ramadhan akan kembali lagi, tapi adakah kita yakin umur kita masih berbaki setahun lagi? Lebih-lebih lagi hal keadaan sekarang yang mana maut datang tanpa sebarang isyarat dan tanda-tanda. Ianya datang secara tiba-tiba. Banyak orang di antara keluarga, teman, jamaah dan masyarakat kita yang sudah tidak boleh berjumpa lagi dengan bulan Ramadhan tahun ini kerana mereka sudah pergi.


RAMADHAN- BULAN MUHASABAH DIRI

Tarbiyyah Islamiyah bukan sekadar membentuk seseorang itu menjadi mukmin untuk dirinya, beramal dan bertakwa seorang diri sahaja. Bahkan ia bertujuan melahirkan mukmin yang sedia berkhidmat, memberi sumbangan kepada Islam dan berjihad pada jalan Allah S.W.T.

Rasulullah s.a.w. mendidik para sahabatnya sehingga menjadi mujahid yang kukuh iman mereka, sentiasa bersedia untuk berkorban dan berjihad pada jalan Allah. Apabila Islam berhajat kepada kerja dakwah, maka akan ada para da'i yang sanggup menyampaikan risalah Islam. Apabila Islam memerlukan pengorbanan harta benda, maka para sahabat yang mempunyai harta menyerahkan harta benda mereka kepada Rasulullah s.a.w. dengan penuh keredaan.

Ada banyak nilai tarbiyyah Ramadhan yang akan kita peroleh, khususnya dari ibadah puasa. Pemahaman tentang masalah ini perlu kita ingat dan segarkan kembali agar ibadah puasa Ramadhan pada tahun ini boleh kita manfaatkannya secara optimum.

Membersihkan Jiwa.

Keadaan jiwa seseorang menjadi penentu utama bagi diri dalam bersikap dan berperilaku. Sikap dan perilaku yang baik atau buruk sangat ditentukan oleh apakah jiwanya bersih atau tidak. Puasa mentarbiyyah kita untuk menjadi manusia yang memiliki jiwa yang bersih. Tanda jiwa yang bersih adalah senang melaksanakan apa yang diperintah Allah, menjauhi apa yang dilarang-Nya serta selalu berupaya untuk menyempurnakan pengabdiannya kepada Allah s.w.t.

Jiwa yang bersih akan menjadikan seseorang senang pada kejujuran, takut kepada Allah dan selalu merasa diawasi oleh-Nya, mendambakan kebersihan jiwa, manakala telah diselimuti dengan dosa, maka dia ingin membersihkan dosa-dosanya itu, dan puasa merupakan salah satu cara untuk membersihkan jiwa daripada dosa-dosa. Jiwa yang bersih diterjemahkan juga dalam bentuk disiplin menjalani ketentuan-ketentuan Allah s.w.t. dan puasa memang melatih kita untuk menjadi orang yang berdisiplin dalam menjalani kehidupan seharian sebagaimana yang telah digariskan Allah s.w.t. dan dicontohkan oleh Rasul-Nya.
Keinginan (iradah) merupakan sesuatu yang mesti ada, tumbuh dan berkembang dalam diri seorang muslim dalam rangka melaksanakan perintah dan menjauhi larangan Allah s.w.t. Puasa mendidik kita untuk menumbuhkan dan mengembangkan iradah untuk melaksanakan yang baik dan iradah untuk menjauhi segala bentuk keburukan.

Pahala atau imbalan besar yang disediakan Allah s.w.t. terhadap orang yang berpuasa dengan baik membuat tumbuh pada dirinya keinginan untuk melaksanakan segala bentuk kebaikan dan menjauhi segala bentuk keburukan. Pada bulan Ramadhan kita dianjurkan untuk memberi makan atau minum kepada orang yang berbuka.

Rasulullah s.a.w.. bersabda,

“Barangsiapa memberi makan kepada orang yang berbuka puasa maka dia memperoleh pahalanya, dan pahala bagi yang (menerima makanan) tanpa dikurangi sedikitpun”. (Hadith Riwayat Tirmidzi).

Ibadah puasa mendidik kita untuk melakukan pengendalian terhadap nafsu seksual, tapi bukan membunuh nafsu seksual sehingga kita tidak memilikinya lagi. Nafsu seksual perlu dikendalikan dengan baik agar ianya menjuruskan kepada keredaan Allah s.w.t. Puasa mendidik kita agar tidak kecundang dan tenggalam dalam nafsu.

Sebagai manusia, kita menyedari bahawa hidup ini tidak mungkin boleh kita jalani dengan baik tanpa kebersamaan dengan manusia lainnya. Yang kaya harus membantu yang miskin, sementara yang miskin pun masih boleh bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana boleh jadi masih banyak orang yang lebih miskin daripadanya.

 Sabda Rasulullah s.a.w.


Betapa banyak orang yang berpuasa, tapi tidak mendapatkan pahalanya, melainkan hanya lapar dan haus saja” (Riwayat Ahmad dan Hakim dari Abu Hurairah).

Sekurang-kurangnya kita mesti mensasarkan lima perkara dalam menduduki tarbiyyah Ramadhan, khususnya dalam konteks mengembangkan amanah jihad menyebarkan dan menegakkan nilai-nilai Islam.

1.   Memantapkan akidah

Tujuan utama puasa adalah mempersiapkan hati manusia untuk bertakwa, sensitif, melembutkan hati dan takut kepada Allah. Takwa membangkitkan kesedaran dalam hati untuk menunaikan kewajipan, takwa juga menjaga hati seseorang sehingga ia tidak mahu merosakkan nilai-nilai ibadah puasa dengan maksiat walaupun hanya dengan getaran hati untuk berbuat maksiat.

Ketakwaan kepada Allah s.w.t. merupakan bukti yang nyata dari kukuhnya aqidah seseorang, kerananya puasa dibebankan kepada siapa saja yang beriman kepada Allah s.w.t. agar keimanan itu dapat menjelma menjadi ketakwaan yang sempurna. Orang bertakwalah yang berada pada posisi yang paling mulia di sisi Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t.:

Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu di sisi Allah adalah yang paling bertakwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal” (al-hujurat:13).

Saat Ramadhan merupakan masa yang ditunggu-tungggu. Orang mukmin sentiasa bertekad akan menjadikan Ramadhan itu untuk memperkukuh ketakwaan kepada Allah s.w.t. dalam erti yang seluas-luasnya. Sekiranya tidak tercapai, maka tarbiyyah dari ibadah Ramadhan kita menemui kegagalan.

      2.   Semangat Berjamaah

Kebersamaan kita dalam proses pengendalian diri membuat syaitan merasa kesulitan dalam menggoda manusia sehingga syaitan menjadi terbelenggu pada bulan Ramadhan. Hal ini diperkuat lagi dengan semangat yang tinggi bagi kita dalam menunaikan solat yang lima waktu secara berjamaah di masjid.

Disamping itu, ibadah Ramadhan yang membuat kita dapat merasakan lapar dan haus, telah memberikan pelajaran kepada kita untuk memiliki perasaan bagaimana peritnya saudara kita yang miskin dan papa kedana. Kerana itu, semangat berjamaah kita sesudah Ramadhan ini semestinya menjadi sangat baik, apalagi kita menyedari bahawa kita tidak mungkin boleh hidup sendirian, sehebat apapun kekuatan dan potensi diri yang kita miliki, kita tetap sangat memerlukan  pihak lain. Itu pula sebabnya, dalam konteks jihad Allah mencintai hamba-hamba-Nya yang berjuang secara sepakat dan kolektif, yang saling kuat menguatkan.

Firman Allah s.w.t.:

“Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berperang di jalan-Nya dalam satu barisan yang teratur, seakan-akan mereka seperti bangunan yang tersusun kukuh (as-saff::4)

Sabda Nabi s.a.w.:

“Orang mukmin sesama mereka seperti sebuah binaan yang saling kuat menguatkan antara satu sama lain”.

3.   Mengawal Diri

Puasa Ramadhan adalah pengendalian diri dari hal-hal yang pokok seperti makan dan minum. Kemampuan kita dalam mengendalikan diri dari hal-hal yang pokok semestinya membuat kita mampu mengendalikan diri dari hal yang kurang pokok dan tidak perlu sama sekali.

Tapi sayangnya, ramai orang telah dilatih untuk menahan makan dan minum yang sebenarnya pokok, tapi tidak dapat menahan diri dari hal-hal yang tidak pokok, misalnya rokok. Ada orang yang  mengatakan: “saya lebih baik tidak makan daripada tidak merokok”, padahal makan itu perkara pokok dan merokok itu tidak perlu.

Sabda Nabi s.a.w.:

“Di antara tanda kebaikan Islam seseorang ialah dia meninggalkan sesuatu yang tidak bermanfaat kepada dirinya”(riwayat Tirmizi)

4.   Akhlak Mulia

Ramadhan mendidik kita supaya berakhlak yang mulia, kerananya keberhasilan ibadah Ramadhan membuat akhlak atau moral yang tercela terkikis habis dari jiwa dan kepribadian kita. Maka sesudah kita menunaikan ibadah Ramadhan, keberhasilan yang harus kita tunjukkan adalah dengan memiliki akhlak yang mulia.

Sabda Nabi s.a.w.:

“Apabila seseorang berpuasa, maka janganlah dia mengucapkan perkataan yang kotor dan jangan pula bertengkar. Sekiranya dia dimaki oleh seseorang atau diajak bergaduh maka hendaklah dia berkata: “Sesungguhnya saya sedang berpuasa.” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim).

Oleh kerana itu kita harus prihatin apabila masyarakat kita sekarang tidak berakhlak mulia. Masa depan kita akan malap kalau generasi muda memiliki akhlak yang rosak, kerana apa yang boleh diharapkan lagi kalau akhlak generasi kita hancur.

Seorang penyair ada berkata:

“Sesungguhnya ummah itu selagi akhlaknya ada, jika hilang akhlak maka mereka turut lenyap.”

5.   Memakmurkan Masjid

Ramadhan juga telah melatih kita untuk kembali ke masjid, kembali memakmurkan masjid, kembali beraktiviti di masjid. Sepanjang Ramadhan, kita lihat masjid-masjid dipenuhi jamaah. Berakhirnya Ramadhan tidak seharusnya menjadikan masjid kita kembali sunyi. Antara tanda berhasilnya tarbiyyah Ramadhan ialah dapat dilihat dari perilaku kita yang istiqamah memakmurkan masjid.

Dalam satu khutbah idil fitr, As syeikh Dr. Yusuf al-Qardhawi pernah mengatakan:

Barangsiapa menyembah Ramadhan, maka sesungguhnya Ramadhan telah pergi. Namun barangsiapa yang menyembah Allah, maka Allah tetap hidup dan tidak akan pernah mati.”


PENUTUP

Rijal yang disebut sebagai jil quran tidak akan terhasil tanpa melalui proses jihad dan tarbiyyah, manakala tarbiyyah tidak akan memberi sebarang kesan tanpa penghayatan dan praktik yang bersungguh-sungguh. Ramadhan merupakan satu peluang keemasan untuk kita melalui kedua-dua proses ini dan seterusnya mengecapi hasil yang membanggakan.

Sabda Rasulullah s.a.w.

Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan yang penuh keberkatan. Allah telah memfardukan ke atas kamu puasanya. Di dalam bulan Ramadhan dibuka segala pintu syurga dan dikunci segala pintu neraka dan diikat syaitan-syaitan. Padanya ada suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Barangsiapa tidak diberikan kepadanya kebaikan malam itu maka sesungguhnya dia telah dijauhkan dari kebajikan.”

SELAMAT MANYAMBUT BULAN RAMDHAN”

كل عام وأنتم بخير

Sunday, May 6, 2012

Wahai Pemuda


WAHAI PEMUDA

Muda hanya sekali. Itulah yang selalu kita dengari. Bagi yang memerhati dan mengerti kenyataan ini maka sudah semestiya masa muda itu tidak diisi dengan sesuatu yang boleh membinasakan diri.

Rasulullah saw bersabda,

اغتنم خمسا قبل خمس،  شبابك قبل هرمك، وصحتك قبل سقمك، وغناك قبل فقرك،
 وفراغك قبل شغلك،  وحياتك قبل موتك.
Maksudnya,” Rebutlah peluang lima perkara sebelum datang lima perkara yang lain iaitu (1)masa muda mu sebelum tua mu, (2)masa sihat mu sebelum sakit mu, (3)masa kaya mu sebelum papa mu,
(4)masa lapang mu sebelum sibuk mu dan (5)masa hidup mu
sebelum mati mu”    riwayat Muslim.

 Mafhum hadis ini selalu kita dengar dalam bentuk aluanan nasyid yang dinyayikan oleh Pakcik Raihan. Ironinya manusia menjadikannya sebagai bahan hiburan semata, tidak masuk menusuk kalbu.

Jangan biarkan masa muda berlalu dengan sia-sia. Masa muda itu penuh kecergasan fizikal dan mental. Masa beginilah masa yang terbaik untuk mencari ilmu, pengalaman dan beramal. Ini tidak bereti masa tua kita tak perlu mengaji dan mengkaji. Kata ulama “Barangsiapa yang masa mudanya begitu, maka masa tuanya akan begitu juga”. Kalau masa tua baru nak mula maka ianya adalah amat susah dan payah.

Satu hakikat dan realiti bahawa masa muda tidak akan bertahan lama kerana usia akan dewasa dan akhirnya tiba masa tua. Setiap detik yang berlalu tidak akan berulang lagi, saat remaja hanya tinggal kenangan. Pahit atau manis. Jika masa remaja tidak dipergunakan dengan selayaknya, pasti meninggalkan kenangan pahit pada hari tua.

Masa tua segala-segalanya tidak indah. Tenaga sudah lemah, selera makan menurun, mata kabur, urat kendur, gigi gugur, selalu jumpa doktor……….akhirnya ke lubang kubur.

Perancangan Jahat Barat

1. يُرِيدُونَ أَنْ يُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَيَأْبَى اللَّهُ إِلاَّ أَنْ يُتِمَّ نُورَهُ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ(32)
Maksudnya: {Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian). at-Taubah ayat 32

Pemuda mesti sedar dan insaf bahwa musuh yang tidak sukakan Islam akan sentiasa dengan penuh daya upaya mereka untuk menghanyutkan pemuda Islam dengan pelbagai cara dan punca. Mereka mahu menghilangkan jati diri pemuda Islam.

Pemuda mesti awas dan waspada dengan 3S, sex, sport, song. Inilah antara jarum yang membuatkan pemuda Islam hanyut sehingga tidak dapat menjalankan tanggungjawab dengan sempurna. Islam bukanlah mengharamkan benda-benda tersebut. Ada jalan penyelesaiannya tapi malangmya praktik Islam dalam kalangan kita amat kurang.








Friday, May 4, 2012

Ini Kalilah


Ucapan Pemangku YDP PAS Kawasan Keningau Sempena Mesyuarat Agung PAS

Ini kalilah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Para Perwakilan
Para Pemerhati,
Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekelian


MUQADDIMAH

الحمد لله، والشكر لله، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وأصحابه ومن والاه. رب اشرح لي صدري ويسرلي أمري واحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي.

"Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia”. Surah Al-ra’d : Ayat 11.

Alhamdulillah, syukur kepada Allah swt kerana dengan Taufiq, Inayah dan Rahmat-Nya sekali lagi kita dapat berhimpun dalam mesyuarat agung PAS kawasan Keningau kali ke-6. Mudah-mudahan, perhimpunan kita pada hari ini imembuahkan natijah yang baik ke arah melaksanakan tuntutan sebagai khalifah di atas mua bumi ini, lebih-lebih lagi di bumi Keningau.

Pada kesempatan ini, saya bagi pihak pimpinan PAS kawasan Keningau, dengan besar hati mengalu-ngalukan kehadiran para tetamu, para perwakilan dan pemerhati, dengan ucapan ribuan terima kasih dan ahlan wasahlan wa marhaban bikum. Pastinya kehadiran tuan-tuan menambahkan seri, barakah dan makna bagi  mesyuarat pada kali ini.
  

SEJARAH RINGKAS PENUBUHAN PAS KAWASAN KENINGAU.

Saudara saudari sekalian,

Pada kesempatan ini suka saya menyorot kembali sejarah ringkas penubuhan PAS kawasan Keningau. Peristiwa kemenangan PAS pada pilihanraya kecil Parlimen P003 Arau pada 04.07 1998 telah memberi suntikan semangat kepada ahli PAS di seluruh negara. Kemenangan tersebut telah memberi keyakinan bahawa perjuangan PAS terus mendapat sokongan rakyat. Semangat tersebut telah sampai ke negeri di bawah bayu sehinggalah ke pedalaman Sabah, Keningau.
Beberapa usaha menubuh cawangan PAS di Keningau telah dilakukan dengan beberapa siri pertemuan telah diadakan sekitar tahun 1998.  Diantaranya ialah melalui satu perbualan telefon pada 1hb november 1998 di antara Cikgu Isa dengan Pesuruhjaya PAS Sabah ketika itu Tuan Haji Mohamad Abdullah mengenai hasrat ahli PAS di Keningau untuk menubuh Jawatankuasa Penaja PAS Cawangan Kampung Minawo yang dicadangkan diletak di bawah pentadbiran PAS Kawasan Tanjung Aru (Kota Kinabalu).
Ekoran daripada perkembangan itu, pada 08.11 para aktivis PAS Keningau telah berjaya menubuh Jawatankuasa Penaja PAS Cawangan Pekan Keningau. Satu surat bertarikh 25hb November 1998 kepada Badan Perhubungan PAS Negeri Sabah dan satu salinan ke Pejabat Agung PAS Pusat, Taman Melewar Selangor  telah dihantar bagi menyampai penyataan hasrat ahli PAS Keningau untuk menubuh PAS Kawasan secara rasminya. Menurut catatan tersebut surat telah diterima pada 26hb November 1998.
Senarai ahli PAS Keningau yang bertarikh 24hb nov seramai 146 orang dimana 27 orang  dari Kg Minawo, 43 orang Pekan Keningau dan 10 orang Kg Baginda. Manakala 20 orang dari Kg baginda, 40 orang dari Keningau dan Tenom masih dalam proses mengisi borang ahli baru disamping 15 orang suami/isteri yang masih belum mengisi borang. Hasil usaha berkenaan seramai 146 orang ahli telah berjaya dikumpul sehingga akhir 1998 dan seterusnya menjadi kumpulan pertama sebagai memenuhi cita-cita melahirkan PAS Kawasan Keningau.

Detik yang dinantikan telah tiba apabila permohonan penubuhan PAS Keningau telah diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan pada 30hb Mei, 2000 di alamat Kg Minawo, Peti Surat 1964 89008 Keningau Sabah. No pendaftaran ialah 26/52-6152.

Mesyuarat Agung Pertama telah diadakan pada 28hb april 2001 di Pejabat PAS Keningau. Mesyuarat tersebut telah dirasmikan oleh Setiausaha Dewan Ulama PAS Sabah. Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad.

Suadara Murkin Yusof selaku Pemangku Yang di Pertua (Yang Di Pertua, Ustaz Zaib telah berpindah ke Perak) dalam ucapan beliau sewaktu menyampaikan ucapan aluan mesyuarat agung PAS Kawasan Keningau yang pertama menyatakan rasa syukur diatas pendaftaran PAS Kawasan. Justeru itu meliau menyeru kepada semua ahli supaya bergiat aktif apatah lagi PAS kawasan telah berjaya mempunyai pejabat di Bandar Keningau.

PAS Keningau sudah melalui ranjau perjalanan melebihi satu dekad. Umum mengetahui bahawa PAS adalah salah satu parti yang wujud di Malaysia ini yang mengamalkan sisten demokrasi berparlimen. Pemimpin dan ahli datang silih berganti bagi menggalas amanah yang diberi.


BERDEPAN DENGAN CABARAN DAN DUGAAN

“Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak seberapa jauh, pastilah mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka. mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah: "Jikalau kami sanggup tentulah kami berangkat bersama-samamu." mereka membinasakan diri mereka sendiri dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta”. Surah at taubah: ayat 42

PAS bukan sekadar sebuah parti untuk mendapatkan sokongan politik atau undi dalam pilihanraya. PAS yang merupakan parti Islam yang mempunyai dasar, ideologi dan pegangan yang berterusan seperti diperuntukkan dalam perlembagaan, tidak perlu berkompromi dalam perkara dasar.

Perjuangan PAS untuk menegakkan keadilan Islam sememangnya mendapat tentangan dan larangan daripada mereka yamg tidak mahu melihat Islam tertegak memerintah. Tidak hairanlah mereka cuba untuk menjauhkan masyarakat daripada mendekati dan mengenali PAS.

Cabaran dan dugaan yang dihadapi tidak seharusnya menjadikan kita takut untuk menyatakan kebenaran Islam. Sememangnya kita perlu diuji dengan ujian ini. Inilah hakikat hidup orang beriman.

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami Telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi”? Surah al ankabut: ayat 2.



HALA TUJU PAS KENINGAU

Saudara dan saudari sekelian,

PAS keningau komited dan beriltizam untuk mencapai sasaran berikut:

  1. Mengkaderkan ahli PAS dalam kalangan Sabahan

Alhamdulillh, Pas semenjak daripada zaman penubuhannya telah dapat menarik hati ramai anak Sabah untuk menyertainya. Sesungguhya PAS bukanlah milik individu tertentu. PAS adalah sebuah parti dan jamaah yang membuka ruang dan peluang keahliannya kepada semua yang layak. PAS bukan hak mutlak anak semenanjung. Walaupun pada realitinya banyak jawatan utama PAS Keningau dipegang oleh mereka yang datang dari Semenanjung tetapi sebenarnya ia terbuka luas kepada Sabahan. Justeru, program perkaderan kepada anak Sabah perlu dilaksanakan ke arah kesinambungan perjuangan menegakkkan Islam di bumi Sabah ini. Saya menyeru kepada masyarakat tempatan agar tampil bersama kami untuk melestarikan bumi Sabah ini dengan amal Islami. Mungkin sepuluh tahun akan datang, anda akan berada di saf hadapan.

  1. Memberi penerangan Islam kepada masyarakat

PAS bukan sahaja sebuah parti politik tetapi ianya juga merupakan wadah dakwah Islaamiyyah. Penerangan dan dakwah tentang Islam perlu disebar luaskan kepada masyarakat setempat supaya mereka dapat memahami dan menghayati ajaran Islam yang syumul. Masih ramai orang Islam di sini yang hanya tahu dirinya beragama Islam tetapi kosong daripada penghayatan. Menjadi kewajipan kepada penyokong dan pendukung PAS untuk mara ke hadapan sebagai dae ilallah.

  1. Memparkasakan pendidikan Islam

Pendidikan adalah suatu perkara yang dititik beratkan dalam Islam. Masyarakat perlu mendapat pendidikan yang sempurna. Kewujudan satu sekolah Islam perlu diadakan memandangkan tidak ada sekolah Islam di Keningau ini. Insya Allah, Pusat Pendidikan Islam keningau (PUPIK) sedang dalam pembinaan dan akan beroperasi suatu hari nanti.


PILIHANRAYA KE 13 – Ini kalilah.

Tempoh Parlimen Ke 12 berbaki tidak sampai satu tahun. Suasana sekarang ialah suasana gendang pilihanraya. Ianya boleh dilaksanakan pada bila-bila masa sahaja. Gerakerja ke arah perubahan perlu diperhebatkan. Ini kalilah masanya untuk kita berubah. Angin untuk berubah sememangnya terasa sampai ke Sabah. Janganlah slogan “ini kalilah” berubah kepada “Lain kalilah”. Jadinya momentum untuk berubah ini perlu direalisasikan dalam bentuk  undi. Setiap ahli perlu bekerja ke arah ini.



KERJASAMA PAS DALAM PR

PAS, di atas dasar tahaluf siyasi akan tetap bekerjasama dalam satu gagasan pakatan rakyat. Cita-cita untuk menegakkan keadilan, membenteras rasuah, kehidupan bermaruah adalah cita-cita bersama PAS dalam pakatan. Justeru kerjasama dan permuafakatan ini perlu untuk mencapai kemenangan. PAS Keningau akan mendepani perubahan ini. Sesungguhnya PAS bukanlah sebuah kelompok picisan yang mengharapkan ehsan. Pengalaman kerjasama kita dalam pilihanraya lalu banyak membantu melicinkan kerjasama ini dan akan menjadi asas kepada kerjasama selanjutnya. PAS bersedia untuk bermuzakarah dengan sesiapa sahaja bagi mencari titik pertemuan yang boleh dimanafaatkan bersama.


Penutup

Ahli-ahli PAS yang ingin memartabatkan Islam di atas muka bumu ini perlu untuk merealisasikan terlebih dahulu Islam dalam diri masing-masing. Ingatlah kata-kata Hassan Hudhaibi: “Hendaklah kamu tegakkan Islam dalam diri kamu, nescaya Islam akan tertegak di atas bumi kamu”. Kita mestilah menjadi qudwah hasanah kepada mad’u kita. Akhlak dan iltizam yang Islami perlu dipraktik dalam kehidupan seharian. Solat jamaah dan budaya ilmu perlu dihayati. 

Sekian