"SEBARKANLAH SALAM DI ANTARA KALIAN"

Monday, March 4, 2019

Amalan memudahkan Rezeki

Rezeki itu datangnya daripada Allah. Di antara nama-nama Allah ialah al-Razzaq – Yang Maha Pemberi Rezeki. Untuk memperoleh rezeki maka mestilah melalui pemberi rezeki. Antara amalan supaya dimudahkan rezeki ialah:
 
1) Solat berjemaah di masjid.

Mafhum firman Allah: Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertakwa. (Taha: 132)

Ramai orang yang mengeluh mengapa hidupnya susah. Hutang keliling pinggang, hidup payah, penyakit bertambah, ahli keluarga selalu berbalah, hati selalu keluh kesah. Kita bertanya mengapa hidup sulit seperti ini, adakah jalan keluar? Mengapa doa seakan tidak berjawab, mengapa Allah seolah tidak peduli? 

Dalam surah Al Baqarah ayat 153 Allah mengingatkan supaya minta pertolongan pada Allah dengan sabar dan solat. Jika hidup selalu dirudung malang dan berbagai kesulitan, periksalah diri, mungkin kita kurang mendekatkan diri kepada Ilahi. Mungkin kita enggan dan sombong untuk berdoa pada-Nya. Ayuh kita dekatkan diri kita dengan rumah Allah. Solat sejara berjemaah. Semoga rezeki kita bertambah.

2) Menghadiri Majlis Ilmu.

Banyak kemuliaan yang Allah berikan kepada para pencari ilmu. Allah memuliakan hamba-Nya yang menyibukkan dirinya dalam ilmu, dengan ilmulah seorang hamba mengenal Tuhannya. Bahkan Allah berjanji menjamin rezeki pencari ilmu. Nabi Muhammad SAW. memberikan perkhabaran bahawa Allah menjamin rezeki pencari ilmu, maka tidak sepatutnya bagi para pencari ilmu khuatir tentang rezeki yang akan mereka dapatkan. 

Jaminan Allah Swt. yang diberikan kepada pencari ilmu adalah rezeki yang memiliki hubungan dengan kebahagiaan, kemuliaan, dan keselamatan dari tabir Allah Swt. Para pencari ilmu mendapatkan rezeki yang menyenangkan. Alhamdulillah, masjid di kampung kita dipenuhi dengan majlis ilmu. Kuliah dan ceramah boleh dikatakan ada setiap hari. Hadirlah majlis-majlis ini. Tak lama pun. Antara maghrib dengan Isya sahaja. Banyak manfaat yang kita akan dapat.  

Daripada Abi Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: “Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke Syurga. Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah, membaca kitab Allah (al-Qur’an) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta Allah SWT akan menyebut mereka pada malaikat yang berada di sisi-Nya”. [ Muslim ]

3) Mentadabbur Ayat Suci al-Quran

Cara mentadabbur ayat al-Quran ialah membaca, memahami dan menghayati  maknanya. Semuanya itu bermula dengan belajar. Belajarlah al-Quran. Tiada istilah terlewat dan lewat untuk memulai mempelajari al-Quran. Ruginya hidup jika tak pandai baca quran. Al-Quran ini untuk dibaca, difahami, dihayati. Barulah hidup kita diberkati dengan rezeki daripada Ilahi. Untuk pencari rezeki, Fahami dan tadabburlah ayat 2 – 3 surah al-Tholaq.

Barangsiapa bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia menjadikan baginya jalan keluar. Dan memberi rezeki kepadanya tanpa di duga, dan barangsiapa bertawakkal kepada Allah, nescaya Dia akan mencukupkannya, sesungguhnya Allah melaksana urusan yang dikehendakiNya, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu.