"SEBARKANLAH SALAM DI ANTARA KALIAN"

Friday, December 20, 2013

Salah Urus Dalam Walimatul Urus




Kenduri kahwin ataupun dalam bahasa Arab disebut walimatul urus merupakan salah satu sunnah yang diajar oleh baginda nabi (صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم). Satu ketika tatkala baginda tahu perkahwinan Abdul Rahman bin Auf maka baginda bersabda yang bermaksud “Buatkanlah kenduri kahwin walaupun dengan seekor kambing”.

Berkahwin itu sendiri adalah ibadat. Justeru dalam melaksanakan urusan nikah kahwin sepatutnya kita ikut amalan terbaik yang disuluh oleh pancaran wahyu bukan mengikut nafsu ataupun adat Melayu. Jika ibadat kita diselaputi adat yang bertentangan dengan syariat maka kita mesti beringat agar tidak sesat dalam ibadat.

Banyak perkara yang boleh merosakkan pahala melaksanakan sunnah walimatus urus apabila ianya tersalah urus. Antara salah urus dalam walimatus urus ialah:

1. Kenduri kahwin dilaksanakan dengan pembaziran harta dan tenaga. Orang yang membazir adalah saudara syaitan manakala syaitan itu kufur kepada Allah
 (سبحانه وتعالى).

2. Matlamat mengadakan kenduri kahwin adalah untuk bermegah-megah dan bermewah-mewah.

3. Menjemput orang-orang kaya sahaja manakala orang miskin ditinggalkan.

4. Mengabaikan tanggungjawab asas, iaitu solat kerana sibuk menguruskan kenduri kahwin.

5. Mengadakan majlis persandingan, bertepung tawar, ditabur beras kepada pengantin – Ustaz Azhar Idrus cakap boleh ditabur beras kepada pengantin jika pengantin itu ialah ayam!

6. Dijadikan majlis kenduri itu sebagai restoran segera. Menjadi kebiasaan orang kita kalau hadir ke kenduri walimatul urus orang akan bagi wang kepada tuan rumah. Apabila seseorang dapat kad jempuatan maka mereka mengatakan surat saman. Kalau tak ada duit nak dikepit dalam tangan, maka segan ia nak pergi makan. Sepatutnya, tak bagi pun tak apa kerana tuan rumah panggil untuk diberi makan bukan untuk ia menambah pendapatan.


Marilah kita bermuhasabah kembali tentang amalan harian kita. Kadang-kadang kita akan dapati amalan kita adalah terbalik atau bertentangan daripada apa yang patut dilakukan dan dituntut oleh Islam.