"SEBARKANLAH SALAM DI ANTARA KALIAN"

Friday, December 20, 2013

Salah Urus Dalam Walimatul Urus




Kenduri kahwin ataupun dalam bahasa Arab disebut walimatul urus merupakan salah satu sunnah yang diajar oleh baginda nabi (صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم). Satu ketika tatkala baginda tahu perkahwinan Abdul Rahman bin Auf maka baginda bersabda yang bermaksud “Buatkanlah kenduri kahwin walaupun dengan seekor kambing”.

Berkahwin itu sendiri adalah ibadat. Justeru dalam melaksanakan urusan nikah kahwin sepatutnya kita ikut amalan terbaik yang disuluh oleh pancaran wahyu bukan mengikut nafsu ataupun adat Melayu. Jika ibadat kita diselaputi adat yang bertentangan dengan syariat maka kita mesti beringat agar tidak sesat dalam ibadat.

Banyak perkara yang boleh merosakkan pahala melaksanakan sunnah walimatus urus apabila ianya tersalah urus. Antara salah urus dalam walimatus urus ialah:

1. Kenduri kahwin dilaksanakan dengan pembaziran harta dan tenaga. Orang yang membazir adalah saudara syaitan manakala syaitan itu kufur kepada Allah
 (سبحانه وتعالى).

2. Matlamat mengadakan kenduri kahwin adalah untuk bermegah-megah dan bermewah-mewah.

3. Menjemput orang-orang kaya sahaja manakala orang miskin ditinggalkan.

4. Mengabaikan tanggungjawab asas, iaitu solat kerana sibuk menguruskan kenduri kahwin.

5. Mengadakan majlis persandingan, bertepung tawar, ditabur beras kepada pengantin – Ustaz Azhar Idrus cakap boleh ditabur beras kepada pengantin jika pengantin itu ialah ayam!

6. Dijadikan majlis kenduri itu sebagai restoran segera. Menjadi kebiasaan orang kita kalau hadir ke kenduri walimatul urus orang akan bagi wang kepada tuan rumah. Apabila seseorang dapat kad jempuatan maka mereka mengatakan surat saman. Kalau tak ada duit nak dikepit dalam tangan, maka segan ia nak pergi makan. Sepatutnya, tak bagi pun tak apa kerana tuan rumah panggil untuk diberi makan bukan untuk ia menambah pendapatan.


Marilah kita bermuhasabah kembali tentang amalan harian kita. Kadang-kadang kita akan dapati amalan kita adalah terbalik atau bertentangan daripada apa yang patut dilakukan dan dituntut oleh Islam. 


Thursday, November 28, 2013

Kenduri Arwah: Antara menjamu dan Dijamu




Saya tak nak bincang hukum melakukan kenduri arwah kerana ianya sudah sedia maklum. Dalam entri ini saya cuba lihat praktik kenduri arwah dalam kalangan masyarakat dan garis pandu sepatutnya yang perlu diamalkan. 

Kenduri arwah ialah majlis jamuan makan selepas bacaan tahlil dan doa kepada simati yang dilakukan oleh keluarga simati selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya)
.
Tok guru saya ada menyatakan bahawa lafaz “bekwah” (merujuk kepada majlis keraian yang menghidangkan makanan seperti kenduri kahwin) adalah  berasal daripada kenduri arwah. Menurut Kamus Dewan Bekwah bererti kenduri arwah.

Menjamu orang makan digalakkan dalam Islam. Abdullah bin Salam bagitahu bahawa perkatan pertama yang dia dengar daripada nabi ialah:

يا أيها الناس: أفشوا السلام، وأطعموا الطعام، وصِلُوا الأرحام، وصلّوا بالليل والناس نيام، تدخلوا الجنة بسلام


Wahai manusia! Sebarkan salam, bagilah makanan, hubungkanlah rahim, solatlah pada waktu malam tatkala manusia sedang melimpang. Nescaya kamu akan masuk syurga dengan selamat.-riwayat Ahmad, Tirmizi, Hakim. 


(Gambar sekadar hiasan)

Persoalannya adakah menjamu makan yang dibuat oleh keluarga simati ini adalah kerana menyahut saranan nabi tadi?- menjamu makan. Atawa ianya merupakan adat yang diangkat menjadi ibadat.

Kalau kita tengok kepada hadis nabi, baginda memberi arahan agar kelurga simati dijamu makanan, bukan menjamu makanan. Maka amalan keluarga simati menjamu kepada tetamu adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah.

Dalam hadis riwayat at-tirmizi sabda nabi tatkala menerima berita kematian keluarga jaafar.

اصنعوا لآل جعفر طعاما ، فقد أتاهم أمر يشغلهم ، أو أتاهم ما يشغلهم

Buatkanlah kepada keluarga Jaafar makanan, Sesungguhya telah tertimpa ke atas mereka sesutu yang memberatkan.

Islam itu indah, mudah, bukan payah bagi mereka yang belajar fekah. Keluarga simati tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyedia makanan dan belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil. Tidakkah itu menyusahkan? 

Sepatutnya tetamu yang datang bawa makanan dan beri kepada mereka yang telah kehilangan orang tersayang, bukannya kita dijamu kenduri arwah kerana ianya terbalik daripada sunnah. Sunnah nabi adalah terbaik, jangan pula kita buat amalan terbalik.

Monday, October 28, 2013

Doa Supaya Dapat Petunjuk




اللَّهُمَّ رَبَّ جَبْرَائِيلَ وَمِيكَائِيلَ وَإِسْرَافِيلَ. فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ. عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ. أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ. اهْدِنِي لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ

Ya Allah! Tuhan Jibril, Mikail dan Israfil, Yang mencipta langit dan bumi, yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, Engkau memutuskan hukuman antara hamba-Mu di atas perkara yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah daku kebenaran dengan izin Engkau atas sesuatu yang diperselisihkan. Sesungguhya engkau memberi petunjuk ke jalan kebenaran kepada sesiapa yang engakau kehendaki.

Doa ini boleh dibaca selepas solat, dalam solat ketika doa iftitah atau ketika tahiyyat sebelum salam. Amalkan doa ini. Mudah-mudahan kita dapat petunjuk.

Petikan ceramah Ustaz Halim Hassan pada 25 Oktober 2013 bertempat di Masjid A-Rahim, Pekan Keningau.

Thursday, October 24, 2013

Hendak Seribu Daya, Tak Hendak Seribu Dalih



( من لمح فجر الأجر هان عليه ظلام التكليف)

Ucapan ini diucapkan oleh al imam Ibnu Jauzi rahimahullah. Perkataan ini walaupun sedikit mempunyai pengetian yang amat mendalam bagi pencinta Allah tuhan sarwa alam. Bagi para salik yang menjalani sulukil mutttaqin akan berusaha dan bermujahadah mencari reda Allah. Semua keletihan tidak rehat waktu malam menjadi mudah bagi mereka apabila teringat janji Allah di akhirat sana.

Jika ada kemahuan maka di sana ada jalan. Siapa berusaha dia akan dapat. Syurga Allah mahal harganya. Disediakan untuk mereka yang berjaya menghalangi jalan ke syurga. Syurga dihalangi oleh maksiat dan syahawat.


Melazimi Istighfar




Sabda Nabi صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:

عن عبد الله بن عباس رضي الله عنهما قَال : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مَنْ لَزِمَ الِاسْتِغْفَارَ جَعَلَ اللَّهُ لَهُ مِنْ كُلِّ ضِيقٍ مَخْرَجًا ، وَمِنْ كُلِّ هَمٍّ فَرَجًا ، وَرَزَقَهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ - رواه أبو داود وابن ماجه 

Daripada Abdillah bin Abbas رضي الله عنه  , bahawa Rasulallah صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ telah bersabda: “Barangsiapa melazimi istighfar, maka Allah akan jadikan jalan keluar dalam setiap kesulitan hidup, dan jadikan setiap gundah-gulananya menjadi kebahagiaan dan Allah akan memberinya rezeki tanpa ia sangka.” (Abu Dawud dan Ibnu Majah)

-       Hadis ini sanadnya dhaif tapi maknanya sahih sebagaimana yang disebut oleh Syeikh Uthaimin.

Istighfar ialah meminta keampunan daripada Allah terhadap kesalahan dan dosa yang kita lakukan. Tidak ada orang dalam kalangan kita yang tidak melakukan dosa. Nabi صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ bagitahu bahawa setiap anak Adam melakukan dosa.

Di antara sifat Allah ialah maha pengampun maha pemurah lagi maha penyayang. Allah amat suka terhadap hambanya yang melakukan dosa kemudia dia minta ampun kepada tuhannya.

Nabi sendiri walaupun maksum tetapi baginda bertaubat dan beristighfar kepada Allah  سبحانه وتعالى.
عن أبي هريرة رضي الله عنه قال‏:‏ سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول‏:‏ ‏"‏والله إني لأستغفر الله وأتوب إليه في اليوم أكثر من سبعين مرة ‏"‏ ‏(‏‏(‏رواه البخاري‏)‏‏)‏‏.‏
 
Daripada Abi Hurairah berkata: Saya mendengar Rasulallah صلى الله عليه وسلم bersabda:"Demi Allah, sesungguhnya saya memohonkan pengampunan kepada Allah serta bertaubat kepada-Nya dalam sehari lebih daripada tujuh puluh kali." (Riwayat Bukhari).
Siapa kita untuk tidak beristighfar kepada Allah? Kalau nabi pun bertaubat dan beristighfar kepada Allah lebih daripada tujuh puluh kali kita yang banyak dosa dan noda ini sepatutnya lebih daripada itu.

Melazimi istighfar mempunyai khasiat yang banyak. Di samping dapat pengampunan kita dapat juga bonus lain. Allah akan hilangkan perasaan keluh kesah. Allah akan jadikan dadanya lapang. Allah bagi rezki tanpa disangka.

Jom kita jadikan amalan istighfar sebagai kelaziman kita. Beristighfar di mana jua dan bila masa sahaja. Bukannya susah nak sebut astaghfirullah. astaghfirullah. Boleh istighfar di atas kereta sambil memandu, di atas padang sambing berjoging, di kolam renang sambil berenang pun boleh.

Ucapan istighfar banyak kita boleh amalkan. Sekurang-kurangnya kita sebut astaghfirullah. Tapi ada satu istighfar yang disebut sebagai penghulu istighfar. Nabi صلى الله عليه وسلم  bagitahu:

عنْ شَدَّادِ بْنِ أَوْسٍ رضي اللَّه عنْهُ عن النَّبِيِّ صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم قالَ : « سيِّدُ الاسْتِغْفار أَنْ يقُول الْعبْدُ : اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي ، لا إِلَه إِلاَّ أَنْتَ خَلَقْتَني وأَنَا عَبْدُكَ ، وأَنَا على عهْدِكَ ووعْدِكَ ما اسْتَطَعْتُ ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ ما صنَعْتُ ، أَبوءُ لَكَ بِنِعْمتِكَ علَيَ ، وأَبُوءُ بذَنْبي فَاغْفِرْ لي ، فَإِنَّهُ لا يغْفِرُ الذُّنُوبِ إِلاَّ أَنْتَ . منْ قَالَهَا مِنَ النَّهَارِ مُوقِناً بِهَا ، فَمـاتَ مِنْ يوْمِهِ قَبْل أَنْ يُمْسِيَ ، فَهُو مِنْ أَهْلِ الجنَّةِ ، ومَنْ قَالَهَا مِنَ اللَّيْلِ وهُو مُوقِنٌ بها فَمَاتَ قَبل أَنْ يُصْبِح ، فهُو مِنْ أَهْلِ الجنَّةِ » رواه البخاري .
Daripada Syaddad bin Aus berkata, “Penghulu istighfar itu adalah seorang hamba mengucapkan:

اَللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّيْ لاَ إِلَـهَ إِلاَّ أَنْتَ، خَلَقْتَنِيْ وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوْءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوْءُ بِذَنْبِيْ فَاغْفِرْ لِيْ فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ إِلاَّ أَنْتَ.

“Ya Allah! Engkau adalah Tuhanku, tidak ada Tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau, Engkau-lah yang menciptakan aku. Aku adalah hamba -Mu. Aku akan setia pada perjanjianku dengan -Mu semampuku. Aku berlindung kepada -Mu dari kejelekan yang kuperbuat. Aku mengakui nikmat -Mu kepadaku dan aku mengakui dosaku, oleh kerana itu, ampunilah aku. Sesungguhnya tiada yang mengampuni dosa kecuali Engkau.”
Barangsiapa yang membacanya pada waktu siang dengan penuh keyakinan lalu dia mati pada siang hari itu sebelum memasuki waktu petang maka dia termasuk penghuni syurga, dan barangsiapa yang membacanya pada waktu malam dengan penuh keyakinan dan mati sebelum memasuki waktu pagi maka dia termasuk penghuni syurga”.