"SEBARKANLAH SALAM DI ANTARA KALIAN"

Saturday, June 30, 2018

Minta Izin Dahulu Atau Beri Salam Dahulu?



Islam mengajar kita dengan adab-adab yang perlu dipraktikkan supaya kehidupan lebih murni dan harmoni dalam kalangan masyarakat. Antara adab yang diketengahkan dalam Islam ialah adab meminta izin dan memberi salam untuk memasuki rumah orang lain. Dalam surah an-Nur ayat 27 firman Allah S.W.T. mafhumnya:

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu). 

Zahir dalam ayat ini didahulukan meminta izin sebelum memberi salam. Persoalannya adakah amalan kita yang rata-rata memberi salam dahulu kemudian meminta izin untuk masuk itu bertepatan dengan ayat ini? Jumhur ulama berpendapat bahawa memberi salam dahulu kemudian meminta izin.

Ini berdasarkan kepada hadis daripada Jabir bahawa Rasulallah صلى الله عليه وسلم bersabda yang bermaksud “Salam itu sebelum kalam”. Bagaimana dengan ayat ini yang mendahulukan minta izin kemudian salam? Sebab itu kita kena belajar untuk tahu jawapan. Bukan asyik main wasap saja.

Ayat yang mendahulukan meminta izin tidak semestinya perlu dibuat ikut turutan dalam amalan. Huruf و (wau) yang disebut sebagai huruf عطف (athof) tidak semestinya menunjukkan tertib urutan. Ianya menunjukkan kebersamaan dalam sesuatu urusan. Dalam ayat lain misalnya, surah Ali Imran ayat 43 mafhumnya:

"Wahai Maryam! Taatlah kepada Tuhanmu, dan sujudlah serta rukuklah (mengerjakan sembahyang) bersama-sama orang-orang yang rukuk ". Kita tahu bahawa rukuk mendahului sujud dalam perbuatan solat. 

Begitu juga dalam surah As-syura ayat 13, mafhumnya:
Allah telah menerangkan kepada kamu - di antara perkara-perkara agama yang Ia tetapkan hukumnya - apa yang telah diperintahkanNya kepada Nabi Nuh, dan yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), dan juga yang telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: "Tegakkanlah pendirian agama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya". Kita tahu bahawa ikut tertibnya Nabi Ibrahim, Musa dan Isa dahulu sebelum nabi Kita Muhammad صلى الله عليه وسلم .

Tidak dinafikan juga bahwa wau athof ini juga digunakan untuk tertib susunan yang perlu diikuti. Contoh dalam surah al-Baqarah ayat 158, mafhumnya:

Sesungguhnya "Safa" dan "Marwah" itu ialah sebahagian daripada Syiar (lambang) agama Allah;”.  Dalam hal ini Rasulullah dalam saenya bersabda “Aku mulakan dengan apa yang dimulakan oleh Allah (Safa dahulu kemudian Marwah). Maka syariat sae itu bermula dari Safa.

Macamana nak tahu bahawa yang itu ikut tertib urutan, yang itu tak semestinya ikut urutan ayat? Jawapannya mudah saja. Kena belajarlah. Bagi masa kita untuk mempelajari kalam Allah. Belajar, Baca, Faham. Amal. Sebar. Jom belajar al-Quran!