Dalam ayat 240 kembali
semula kepada ayat-ayat tentang munakahat. Di antara ayat munakahat yang kita
bincang banyak kali dah sebelum ini, Allah ada selit ayat berkenaan jaga solat
terutamanya solat wustho – solat asar. Hubungan dengan Allah tak boleh putus
walaupun hubungan suami isteri terputus.
Suami yang mati
meninggalkan isterinya. Kita panggil balu. Ada hak yang mesti ditunaikan. Islam
amat mementingkan kebajikan lebih-lebih lagi terhadap wanita. Islam tidak meninggalkan keadaan balu wanita
itu dalam keadaan tergantung tanpa hak dan penjagaan. Dalam hal ini suami itu
hendaklah berwasiat iaitu meninggalkan pesan kepada walinya supaya menjaga
isterinya itu.
Mesti sediakan
nafkah daripada harta yang ditinggalkannya sampai cukup setahun jikalau
isterinya itu tidak kahwin lain. Diwasiatkan atas dasar jasa baik.
Isteri-isterinya itu memang boleh kahwin lain tetapi jikalau mereka tidak
kahwin lain, maka perlu diwasiatkan untuk penjagaan mereka.
Isterinya itu boleh tinggal
di rumah yang dia tinggal dengan suaminya sebelum itu selama cukup setahun.
Janganlah dihalau isteri itu keluar walaupun suaminya sudah tidak ada lagi. Kalau
isterinya itu keluar juga, maka tidaklah ada kesalahan kepada wali-wali arwah
suaminya itu. Tapi kenalah pastikan yang apa yang dilakukan oleh wanita itu
adalah perkara yang makruf seperti dia kahwin lain, atau keluar mencari nafkah.
Di sini jelas bahawa
perempuan tak boleh keluar rumah selain daripada perkara makruf. Jika dia
keluar dengan berhias, tidak tutup aurat, bercampur aduk dengan lelaki bukan
mahram, maka walinya mesti melarangnya.
Ayat 241 pula nak
bagitahu supaya wanita yang diceraikan diberikan pemberian sebagai saguhati.
‘Makruf’ itu bermaksud hadiah yang boleh mengurangkan sedikit kesedihan dan
kemarahan kepada mereka. Kerana kalau seorang wanita diceraikan setelah sekian
lama berkahwin, tentulah ada kesedihan dan serba sedikit rasa marah kerana
ditinggalkan.
Maksud ‘makruf’ itu
juga, hendaklah mut’ah itu diberikan dengan cara yang baik; waktu kita beri
hadiah itu, kita berilah dengan cara baik tanpa ungkit mengungkit maki memaki. Tujuan memberi hadiah saguhati ialah supaya
isteri merasa dihormati dan untuk mengurangkan kesedihannya. Ianya adalah satu
tanggungjawab ke atas orang muttaqin. Adakah tidak muttaqin tidak termasuk
dalam arahan ini? Jawabnya termasuk juga.
Begitulah Allah
mengajar kepada kita cara-cara untuk menjalani kehidupan kita supaya semuanya
dapat hidup aman dan damai dan dapat menjaga hukum Allah di atas muka bumi ini.
Kena guna akal kita yang waras untuk memahami segala perkara ini.Kita boleh
faham daripada ayat ini bahawa Allah sudah menjelaskan satu persatu hukum
kepada kita dengan jelasnya.
Al-Quran yang ada
ini menjadi panduan hidup kepada kita dalam semua lapangan. Tak ada satu pun
hal berkaitan dengan kehidupan kita yang tidak diterangkan dalam quran.
ما فرطنا في الكتاب من شيء
Kalau kita kata
al-Quran tidak ada sebut, maka sebenarnya kita yang tak mengaji quran dengan betul.
Sebab tu kena bagi masa untuk memahami kalam Allah. Semoga hidup kita sentiasa
dipandu oleh wahyu.
وصلى الله وسلم وبارك على نبينا محمد وعلى آله وصحبه