"SEBARKANLAH SALAM DI ANTARA KALIAN"

Tuesday, March 18, 2014

Minyatul musolli 1



                             yang paling sahih huruf mim baris bawah atau depan-لعله الصواب

Munyah jamak muna maksudnya bughyah, cita-cita dan kehendak. Kitab munyatul musolli maknanya apa yang dikehendaki oleh musolli, orang yang melakukan solat. Jadi apakah yang menjadi cita-cita musalli? agar solatnya diterima Allah. Inilah namanya kitab ini munyatul musalli. Cita-cita atau kehendak musali. Boleh baca munyah atau minyah. 



            بسم الله الرحمن الرحيم Ku mulai risalah ini dengan nama Allah yang amat murah lagi amat mengasihani akan hambanya yang mukmin di dalam negeri akhirat.

Jadi pengarang kitabnya tulis kitab dengan lafaz bismillah. Hadis nabi yang bermaksud “Setiap pekerjaan yang bermanfaat yang tidak dimulai dengan bismillah maka pekerjaan itu tidak sempurna, cacat.”

Buat benda baik baca bismillah. Nak belajar baca bismillah, naik kenderaan baca bismillah, nak makan baca bismillah. Nak merokok baca bismillah ke? Tak payahlah merokok sebab merokok tidak ada faedah. Kalau baca bismillah masa nak merokok maka tidak kena pada tempatnya.

“Dengan nama Allah yang amat murah” – maksudnya yang amat pemurah.

            Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam Tuhan yang menjadikan sembahyang yakni sembahyang lima waktu ini jalan segala orang yang muttaqin

Allah ialah tuhan kita dan tuhan sekalian alam. Tuhan yang mengurus tadbir langit dan bumi dan segala cekerawala yang ada. Tuhan sekalian alam. رب العالمين. Maksudnya tuhan jin dan manusia. As Sanqiti dalam kitabya “Adhwaul bayan” antara lain sebut tentang makna tuhan sekalian alam ialah tuhan jin dan manusia . Dalilnya
تَبَارَكَ الَّذِي نَزَّلَ الْفُرْقَانَ عَلَى عَبْدِهِ لِيَكُونَ لِلْعَالَمِينَ نَذِيرًا
Maha Suci Allah yang Telah menurunkan Al Furqaan (Al Quran) kepada hamba-Nya, agar dia menjadi pemberi peringatan kepada seluruh alam ( jin dan manusia).(al-furqan:1)

Sembahyang ialah bahasa Melayu yang diambil daripada bahasa Sanskrit. Mengikut Kamus Dewan, perkataan sembahyang bererti perbuatan menyembah Allah, solat. Bagi orang  bukan Islam bererti permohonan kepada Tuhan, doa.

Ada orang kata tak boleh guna perkataan sembahyang ni. Boleh jadi syirik sebab asalnya ialah sembah dewa. Kena guna perkataan solat. Sebenarnya kita boleh guna perkataan sembahyang ni bagi merujuk keada amalan kita sehari semalam. Sembahyang lima waktu. Bagi saya, suka guna perkataan solat lima waktu.

Sembahyang yang wajib ada lima waktu sahaja iaitu zohor, asar, maghrib, isya dan subuh. Selain daripada itu hukumnya sunat. sunat tahiyyatul masjid, sunat rawatib, tarawih dan lain-lain. Solat ini jalan bagi orang muttaqin nak jumpa tuhannya.

            Dan tuhan yang menjadikan di dalam sembahyang itu sejuk mata hati penghulu segala mursalin yakni dijadikan sejuk mata hati nabi dengan musyahadah akan tuhannya di dalam sembahyangnya dan menjadikan sembahyang itu satu rukun daripada rukun agama.

Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم adalah penghulu bagi segala nabi bahkan penghulu bagi semua anak Adam. أنا سيد ولد ابن آدم ولا فخر  Di dalam kehidupan nabi baginda suka tiga perkara atas dunia ini. " حبِّب إليَّ من دنياكم النساء والطيب ، وجعلت قرة عيني في الصلاة " "Aku kasih daripada dunia kamu ini, wanita (solehah), wangi-wangian dan dijadikan penyejuk mataku di dalam solat."

Amalan sembahyang adalah cara hamba berinteraksi dengan tuhannya. Orang yang sembahyang ini dia berhadapan dengan Allah. Itulah yag disebut sebagi ihsan. kamu sembah Allah seolah-olah kamu lihat Allah, kalau tak mampu maka ketahuilah bahawa Allah melihat kamu.

Selain itu sembahyang adalah salah satu daripada rukun Islam. – sembahyang itu satu rukun daripada rukun agama- maksudnya rukun Islam. Islam ini adalah salah satu daripada yang disebut sebagai ad din-agama. Dalil dia cerita Nabi صلى الله عليه وسلم didatangi Jibril. Hadis panjang berkenaan soal jawab Jibril kepada nabi berkenaan Islam, Iman dan Ihsan. Pengakhiran hadis itu nabi kata ( فإنه جبريل أتاكم يعلمكم دينكم ) . Sesungguhnya dialah Jibril yang datang kepada kamu mengajar agama kamu.