Ramadan adalah bulan yang paling
istimewa dalam kalendar Islam. Pada bulan ini umat Islam diwajibkan berpuasa
sebagai amalan wajib yang perlu dilakukan oleh setiap muslim yang mukallaf.
Objektif pengsyariatan puasa adalah untuk melahirkan hamba yang bertakwa.
Firman Allah s.w.t:
“Wahai orang-orang
yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang
terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa”.(al-baqarah:183)
Bulan Ramadan selalu disebut sebagai “madrasah Ramadan”.
Madrasah ialah tempat seorang murid mendapat didikan dan tarbiah. Di sini murid
akan belajar ilmu, peradaban, menyemai akhlak-aklak mahmudah dan lain-lain
pelajaran.
Madrasah Ramadan adalah satu institusi tarbiah yang
direncanakan oleh Allah s.w.t. kepada hamba-Nya. Sebab itu amat rugi dan
tercela jika seseorang memasuki Ramadan kemudian keluar daripada Ramadan dalam
keadaan noda dan dosa belum terampun bahkan semakin bertimbun.
Antara didikan dan tarbiah
daripada Ramadan ialah puasa mendidik manusia supaya pandai
menjaga diri. Keistimewaan ibadat puasa ialah ianya sangat berkait dengan
keimanan seseorang. Seseorang boleh saja mengaku dirinya sedang berpuasa, walaupun
sebenarnya tidak.
Disebut di dalam al-Muwatta’, karangan Imam Malik
bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “(Allah s.w.t berfirman) : Sesungguhnya dia
(hamba) meninggalkan makan dan minum serta syahwatnya kerana-KU. Puasa (yang
dia kerjakan adalah) kerana-KU. Puasa adalah untuk-KU. Sedangkan, AKU memberi
balasan setiap kebaikan itu dengan sepuluh kali ganda sehingga 700 kali ganda
kecuali ibadah puasa. Ini kerana,puasa adalah untuk-Ku dan aku sendiri yang
akan membalasnya.
Ibadah
puasa mendidik kita untuk melakukan pengendalian terhadap nafsu seksual, tapi
bukan membunuh nafsu seksual sehingga kita tidak memilikinya lagi. Nafsu
seksual perlu dikendalikan dengan baik agar ianya menjuruskan kepada keredaan
Allah s.w.t. Puasa mendidik kita agar tidak kecundang dan tenggalam dalam
nafsu.
Perkara yang selalu menjadikan manusia binasa ialah
kerana gagal menahan nafsu serakah. Kerana mengikut hawa nafsu manusia menjadi
lupa daratan, gagal membezakan yang mana kaca yang mana intan kerana dikuasai
hawa nafsu lantas membelakangi pimpinan wahyu. Apabila nafsu seseorang
menguasai diri, maka hatinya dikunci mati.
Firman Allah s.w.t.:
“Dan di antara mereka ada orang yang mendengarkan
perkataanmu sehingga apabila mereka keluar dari sisimu orang-orang berkata
kepada orang yang telah diberi ilmu pengetahuan (sahabat-sahabat Nabi):
"Apakah yang dikatakannya tadi?" mereka Itulah orang-orang yang
dikunci mati hati mereka oleh Allah dan mengikuti hawa nafsu
mereka.”(Muhammad:16)
Puasa mendidik kita supaya benar-benar mempunyai perasaan
persaudaraan sesama Islam. Kita mungkin tidak pernah merasai kelaparan jika
tidak berpuasa. Tatkala itu perasaan terhadap sesama Islam yang tidak bernasib
baik dapat kita rasakan bersama. Perasaan ini akan lebih terasa jika kita
menjamu orang untuk berbuka puasa.
Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Barangsiapa memberi makan kepada orang yang
berbuka puasa maka dia memperoleh pahalanya, dan pahala bagi yang (menerima
makanan) tanpa dikurangi sedikitpun”. (Hadith
Riwayat Tirmidzi).
Puasa mentarbiah kita untuk menjadi manusia yang
memiliki jiwa yang bersih. Tanda jiwa yang bersih adalah senang melaksanakan
apa yang diperintah Allah, menjauhi apa yang dilarang-Nya serta selalu berupaya
untuk menyempurnakan pengabdiannya kepada Allah s.w.t.
Sebagaimana yang kita maklum bahawa objektif terpenting
syariat puasa pada bulan Ramadan ialah terwujudnya peningkatan takwa kepada
Allah s.w.t. Justeru, takwa kita kepada Allah s.w.t. sepatutnya semakin berkualiti,
ibarat orang menaiki tangga, semakin naik semakin tinggi. Jika dari tahun ke
tahun ibadah Ramadan kita tunaikan, tapi tiada peningkatan takwa, maka kita gagal
meraih hasil tarbiah Ramadan.
Sabda Rasulullah s.a.w.
“Betapa banyak orang yang berpuasa, tapi tidak
mendapatkan pahalanya, melainkan hanya lapar dan haus saja” (Riwayat Ahmad
dan Hakim dari Abu Hurairah).
Ramadan juga melatih kita untuk kembali ke masjid,
kembali memakmurkan masjid, kembali beraktiviti di masjid. Sepanjang Ramadan,
kita lihat masjid-masjid dipenuhi jamaah. Berakhirnya Ramadan tidak seharusnya
menjadikan masjid kita kembali sunyi. Antara tanda berhasilnya tarbiah Ramadan ialah
dapat dilihat dari perilaku kita yang istiqamah memakmurkan masjid.
Dalam satu khutbah idil fitr, As syeikh Dr. Yusuf
al-Qardhawi pernah mengatakan:
“Barangsiapa menyembah Ramadan, maka sesungguhnya Ramadan
telah pergi. Namun barangsiapa yang menyembah Allah, maka Allah tetap hidup dan
tidak akan pernah mati.”
Tarbiah tidak akan
memberi sebarang kesan tanpa penghayatan dan praktik yang bersungguh-sungguh. Ramadan
merupakan satu peluang keemasan untuk kita melalui proses ini dan seterusnya
mengecapi hasil yang membanggakan. Kalau peluang yang
begitu besar ini kita abaikan, peluang mana lagi yang ingin kita ambil. Ramadan
akan kembali lagi, tapi adakah kita yakin umur kita masih berbaki setahun lagi?