MUQADDIMAH
Firman Allah s.w.t.
“(beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan,
bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi
manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara
yang hak dan yang batil). Kerana itu, barangsiapa di antara kamu hadir (di
negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan
itu, dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka
(wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada
hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki
kesukaran bagimu. dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu
mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu
bersyukur.”(Al-baqarah:185)
Ramadhan adalah bulan yang paling
istimewa dalam kalendar Islam. Pada bulan ini umat Islam diwajibkan berpuasa. Objektif pengsyariatan puasa adalah untuk melahirkan hamba Allah yang bertakwa.
Firman Allah s.w.t:
“Wahai orang-orang
yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang
terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa”.(al-baqarah:183)
Ramadhan mempunyai banyak kepentingan yang amat signifikan dalam membentuk insan muttaqin.
Kertas kerja yang ringkas ini akan membincangkan tentang Ramadhan dan
hubungkaitnya dengan jihad dan tarbiyyah.
PENGERTIAN RAMADHAN, JIHAD DAN
TARBIYYAH
Ramadhan adalah bulan yang kesembilan
mengikut perkiraan kalendar hijrah. Secara harfiyah, perkataan Ramadhan diambil
daripada kalimah (رمضاء), ertinya membakar, hal ini demikian kerana
pada bulan ini biasanya haba terlalu panas. Ia juga membawa isyarat bahawa
bulan ini membakar dosa.
Jihad adalah kata terbitan
(masdar) yang berasal dari perkataan jahada bererti bersungguh-sungguh, memerah
tenaga dan berpenatan mengerjakan sesuatu.
(جاهد العدو)bererti memerangi musuh. Al-Jihad menurut kebanyakan kamus
bererti mempertahankan agama daripada musuh Islam. Takrif jihad pada zaman
salafus soleh lebih merujuk kepada aspek berperang melawan musuh. Perbincangan kita tentang jihad merangkumi aspek
yang luas, bukan hanya aspek peperangan bersenjata sahaja.
Manakala
perkataan “ tarbiyyah” berasal daripada kata kerja (رب ، يرب) Rabba-yarubbu yang bermaksud memperbaiki, mengurus, memimpin, menjaga dan
memeliharanya (atau mendidik).
Makna tarbiyyah dalam
perbincangan kita ialah proses pengembangan dan bimbingan, meliputi jasad,
akal, dan jiwa, yang dilakukan secara berterusan. Tarbiyyah adalah salah satu cara untuk menjadikan
seseorang bertanggungjawab terhadap tugas yang diamanahkan. Betapa besarnya
peranan tarbiyyah dalam menjamin kemurnian dalam memenuhi matlamat dan
cita-cita Islam sepanjang zaman.
RAMADHAN BULAN JIHAD
Memasuki fasa Ramadhan dengan penuh keinsafan mampu
melahirkan manusia terbaik, manusia unggul dan berkualiti. Ianya boleh dikatakan
sebagai bulan recharge semula semangat jihad. Di tengah kesibukan
manusia dengan dunia, Ramadhan merupakan anugerah ilahi yang harus kita
dapatkan, sehingga kita keluar dari bulan Ramadhan ini benar-benar menjadi
manusia terbaik.
Menelusi sirah Rasulullah s.a.w. dan para sahabat, kita
dapati banyak peperangan yang berlaku pada bulan Ramadhan dimenangi oleh umat
Islam. Perang Badar, Pembukaan Kota Mekah, Perang ‘Iinu Jaalut yang terjadi pada abad ke-7 Hijriyah, di mana tentera-tentera
Islam di bawah pimpinan mamaalik (jama’ dari mamluk) boleh mengalahkan tentera-tentera salib, semuanya terjadi pada
bulan Ramadhan.
Adalah silap jika kita mengatakan bahawa bulan Ramadhan
adalah bulan untuk beristirehat kerana letih menahan lapar dan dahaga. Sejarah
telah membuktikan bahawa umat Islam mampu mengalahkam musuh Islam pada bulan
Ramadhan. Puasa mereka bukan alasan untuk mereka tidak menang. Ramadhan secara
tidak langsung menjadi momentum kepada umat Islam untuk berjihad di jalan Allah
s.w.t.
JIHAD MELAWAN NAFSU
Perkara yang selalu menjadikan manusia binasa ialah
kerana gagal menahan nafsu serakah. Kerana mengikut hawa nafsu manusia berpecah belah, menjadi
lupa daratan, gagal membezakan yang mana kaca yang mana intan kerana dikuasai
hawa nafsu lantas membelakangi pimpinan wahyu. Apabila nafsu seseorang
menguasai diri, maka hatinya dikunci mati.
Firman Allah s.w.t.:
“Dan di antara mereka ada orang yang mendengarkan
perkataanmu sehingga apabila mereka keluar dari sisimu orang-orang berkata
kepada orang yang telah diberi ilmu pengetahuan (sahabat-sahabat Nabi):
"Apakah yang dikatakannya tadi?" mereka Itulah orang-orang yang
dikunci mati hati mereka oleh Allah dan mengikuti hawa nafsu
mereka.”(Muhammad:16)
Seorang muslim lagi mukmin sentiasa taat kepada Allah
dan tidak mengikut perintah hawa nafsu.
Pertembungan antara patuh kepada arahan Allah ataupun menurut kehendak
gelojak hawa nafsu sentiasa menimbulkan konflik dalam diri manusia. Untuk
mencapai kecemerlangan, seseorang itu memerlukan penglibatan diri dalam jihad
berterusan dalam melawan hawa nafsu. Salah satu
jihad hebat yang perlu diamalkan oleh kita ialah puasa wajib pada bulan Ramadhan.
PUASA SEBAGAI PERISAI
Dalam satu hadis diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w.
memerintah kaum pemuda yang berkemampuan agar berkahwin. Jika tidak mampu
hendaklah berpuasa. Rasulullah s.a.w.
lantas menegaskan bahawa puasa itu adalah perisai daripada melakukan maksiat.
Dalam kehidupan, akan sentiasa berlaku pertembungan antara haq dan yang batil.
Untuk boleh memenangkan yang haq di dalam pertembungan ini, seorang muslim
harus memiliki perisai yang kuat sehingga boleh menghalau segala godaan
syaitan.
Puasa adalah perisai yang ampuh untuk menghadapi
serangan-serangan yang mendatang. Serangan nafsu shawat yang menggila, cintakan
pangkat, harta dan tahta, panjang angan-angan dan tamak haloba, semuanya akan
dapat dikawal jika amalan puasa dibuat mengikut peraturan. Dalam suasana
kehidupan masyarakat kita yang masih amat jauh dari nilai-nilai Islam, peranan
puasa Ramadhan menjadi sesuatu yang amat mendasar dalam membentengi jiwa umat
dalam menghadapi godaan-godaan syaitan yang tiada henti sehinggalah hari kiamat.
TARBIYYAH DALAM BULAN RAMADHAN
Bulan Ramadhan selalu disebut sebagai “madrasah
Ramadhan”. Madrasah ialah tempat seorang murid mendapat didikan dan tarbiyyah.
Di sini murid akan belajar ilmu, peradaban, menyemai akhlak-aklak mahmudah dan
lain-lain pelajaran.
Madarasah Ramadhan adalah satu institusi tarbiyyah yang
direncanakan oleh Allah s.w.t. kepada hamba-Nya. Sebab itu amat rugi dan
tercela jika seseorang memasuki Ramadhan kemudian keluar daripada Ramadhan
dalam keadaan noda dan dosa belum terampun bahkan semakin bertimbun. Orang ini
gagal dalam madrasah Ramadhan.
Antara didikan dan
tarbiyyah daripada Ramadhan ialah puasa mendidik manusia supaya pandai
menjaga diri. Keistimewaan ibadat puasa ialah ianya sangat berkait dengan
keimanan seseorang. Seseorang boleh saja mengaku dirinya sedang berpuasa, walaupun
sebenarnya tidak.
Disebut di dalam al-muwatta’, karangan Imam Malik bahawa
Rasulullah s.a.w bersabda: “(Allah s.w.t berfirman) : Sesungguhnya dia (hamba)
meninggalkan makan dan minum serta syahwatnya kerana-KU. Puasa (yang dia
kerjakan adalah) kerana-KU. Puasa adalah untuk-KU. Sedangkan, AKU memberi
balasan setiap kebaikan itu dengan sepuluh kali ganda sehingga 700 kali ganda
kecuali ibadah puasa. Ini kerana,puasa adalah untuk-Ku dan aku sendiri yang
akan membalasnya.
Puasa mendidik kita agar kita agar menumpukan kehidupan
akhirat lebih daripada kehidupan dunia. Sebab itu sesorang yang berpuasa rela
meninggalkan nikmat dunia yang sementara untuk merebut balasan di akhirat. Jiwa
yang terdidik dengan iman akan mendambakan kehidupan akhirat.
.
Puasa mendidik kita supaya benar-benar mempunyai perasaan
persaudaraan sesama Islam. Kita mungkin tidak pernah merasai kelaparan jika
tidak berpuasa. Tatkala itu perasaan terhadap sesama Islam yang tidak bernasib
baik dapat kita rasakan bersama. Perasaan ini akan lebih terasa jika kita
menjamu orang untuk berbuka puasa
“Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan kerana
iman dan mengharap reda Allah, akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu” (HR Bukhari).
Kalau peluang yang begitu besar ini kita abaikan,
peluang mana lagi yang ingin kita ambil. Memang tahun depan, Ramadhan akan
kembali lagi, tapi adakah kita yakin umur kita masih berbaki setahun lagi? Lebih-lebih
lagi hal keadaan sekarang yang mana maut datang tanpa sebarang isyarat dan
tanda-tanda. Ianya datang secara tiba-tiba. Banyak orang di antara keluarga,
teman, jamaah dan masyarakat kita yang sudah tidak boleh berjumpa lagi dengan
bulan Ramadhan tahun ini kerana mereka sudah pergi.
RAMADHAN- BULAN MUHASABAH DIRI
Tarbiyyah Islamiyah
bukan sekadar membentuk seseorang itu menjadi mukmin untuk dirinya, beramal dan
bertakwa seorang diri sahaja. Bahkan ia bertujuan melahirkan mukmin yang sedia
berkhidmat, memberi sumbangan kepada Islam dan berjihad pada jalan Allah S.W.T.
Rasulullah s.a.w.
mendidik para sahabatnya sehingga menjadi mujahid yang kukuh iman mereka,
sentiasa bersedia untuk berkorban dan berjihad pada jalan Allah. Apabila Islam
berhajat kepada kerja dakwah, maka akan ada para da'i yang sanggup menyampaikan
risalah Islam. Apabila Islam memerlukan pengorbanan harta benda, maka para
sahabat yang mempunyai harta menyerahkan harta benda mereka kepada Rasulullah s.a.w.
dengan penuh keredaan.
Ada banyak nilai tarbiyyah Ramadhan yang akan kita peroleh,
khususnya dari ibadah puasa. Pemahaman tentang masalah ini perlu kita ingat dan
segarkan kembali agar ibadah puasa Ramadhan pada tahun ini boleh kita manfaatkannya
secara optimum.
Membersihkan
Jiwa.
Keadaan jiwa seseorang menjadi penentu utama bagi diri
dalam bersikap dan berperilaku. Sikap dan perilaku yang baik atau buruk sangat
ditentukan oleh apakah jiwanya bersih atau tidak. Puasa mentarbiyyah kita untuk
menjadi manusia yang memiliki jiwa yang bersih. Tanda jiwa yang bersih adalah
senang melaksanakan apa yang diperintah Allah, menjauhi apa yang dilarang-Nya
serta selalu berupaya untuk menyempurnakan pengabdiannya kepada Allah s.w.t.
Jiwa yang bersih akan menjadikan
seseorang senang pada kejujuran, takut kepada Allah dan selalu merasa diawasi
oleh-Nya, mendambakan kebersihan jiwa, manakala telah diselimuti dengan dosa,
maka dia ingin membersihkan dosa-dosanya itu, dan puasa merupakan salah satu cara
untuk membersihkan jiwa daripada dosa-dosa. Jiwa yang bersih diterjemahkan juga
dalam bentuk disiplin menjalani ketentuan-ketentuan Allah s.w.t. dan puasa
memang melatih kita untuk menjadi orang yang berdisiplin dalam menjalani
kehidupan seharian sebagaimana yang telah digariskan Allah s.w.t. dan
dicontohkan oleh Rasul-Nya.
Keinginan (iradah) merupakan sesuatu yang mesti ada,
tumbuh dan berkembang dalam diri seorang muslim dalam rangka melaksanakan
perintah dan menjauhi larangan Allah s.w.t. Puasa mendidik kita untuk
menumbuhkan dan mengembangkan iradah untuk melaksanakan yang baik dan iradah
untuk menjauhi segala bentuk keburukan.
Pahala atau imbalan besar yang disediakan Allah s.w.t.
terhadap orang yang berpuasa dengan baik membuat tumbuh pada dirinya keinginan
untuk melaksanakan segala bentuk kebaikan dan menjauhi segala bentuk keburukan.
Pada bulan Ramadhan kita dianjurkan untuk memberi makan atau minum kepada orang
yang berbuka.
Rasulullah s.a.w.. bersabda,
“Barangsiapa memberi makan kepada orang yang
berbuka puasa maka dia memperoleh pahalanya, dan pahala bagi yang (menerima
makanan) tanpa dikurangi sedikitpun”. (Hadith
Riwayat Tirmidzi).
Ibadah
puasa mendidik kita untuk melakukan pengendalian terhadap nafsu seksual, tapi
bukan membunuh nafsu seksual sehingga kita tidak memilikinya lagi. Nafsu
seksual perlu dikendalikan dengan baik agar ianya menjuruskan kepada keredaan
Allah s.w.t. Puasa mendidik kita agar tidak kecundang dan tenggalam dalam
nafsu.
Sebagai
manusia, kita menyedari bahawa hidup ini tidak mungkin boleh kita jalani dengan
baik tanpa kebersamaan dengan manusia lainnya. Yang kaya harus membantu yang
miskin, sementara yang miskin pun masih boleh bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana
boleh jadi masih banyak orang yang lebih miskin daripadanya.
Sabda Rasulullah s.a.w.
“Betapa banyak orang yang berpuasa, tapi tidak
mendapatkan pahalanya, melainkan hanya lapar dan haus saja” (Riwayat Ahmad
dan Hakim dari Abu Hurairah).
Sekurang-kurangnya kita mesti mensasarkan lima perkara
dalam menduduki tarbiyyah Ramadhan, khususnya dalam konteks mengembangkan amanah
jihad menyebarkan dan menegakkan nilai-nilai Islam.
1. Memantapkan akidah
Tujuan utama puasa adalah mempersiapkan hati manusia
untuk bertakwa, sensitif, melembutkan hati dan takut kepada Allah. Takwa
membangkitkan kesedaran dalam hati untuk menunaikan kewajipan, takwa juga
menjaga hati seseorang sehingga ia tidak mahu merosakkan nilai-nilai ibadah
puasa dengan maksiat walaupun hanya dengan getaran hati untuk berbuat maksiat.
Ketakwaan kepada Allah s.w.t. merupakan bukti yang nyata
dari kukuhnya aqidah seseorang, kerananya puasa dibebankan kepada siapa saja
yang beriman kepada Allah s.w.t. agar keimanan itu dapat menjelma menjadi ketakwaan
yang sempurna. Orang bertakwalah yang berada pada posisi yang paling mulia di
sisi Allah s.w.t.
Firman Allah s.w.t.:
“ Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu
di sisi Allah adalah yang paling bertakwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah
Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal” (al-hujurat:13).
Saat Ramadhan merupakan masa yang ditunggu-tungggu. Orang
mukmin sentiasa bertekad akan menjadikan Ramadhan itu untuk memperkukuh ketakwaan
kepada Allah s.w.t. dalam erti yang seluas-luasnya. Sekiranya tidak tercapai,
maka tarbiyyah dari ibadah Ramadhan kita menemui kegagalan.
2.
Semangat Berjamaah
Kebersamaan kita dalam proses pengendalian diri membuat
syaitan merasa kesulitan dalam menggoda manusia sehingga syaitan menjadi
terbelenggu pada bulan Ramadhan. Hal ini diperkuat lagi dengan semangat yang
tinggi bagi kita dalam menunaikan solat yang lima waktu secara berjamaah di
masjid.
Disamping itu, ibadah Ramadhan yang membuat kita dapat
merasakan lapar dan haus, telah memberikan pelajaran kepada kita untuk memiliki
perasaan bagaimana peritnya saudara kita yang miskin dan papa kedana. Kerana
itu, semangat berjamaah kita sesudah Ramadhan ini semestinya menjadi sangat
baik, apalagi kita menyedari bahawa kita tidak mungkin boleh hidup sendirian,
sehebat apapun kekuatan dan potensi diri yang kita miliki, kita tetap sangat
memerlukan pihak lain. Itu pula
sebabnya, dalam konteks jihad Allah mencintai hamba-hamba-Nya yang berjuang
secara sepakat dan kolektif, yang saling kuat menguatkan.
Firman Allah s.w.t.:
“Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang
berperang di jalan-Nya dalam satu barisan yang teratur, seakan-akan mereka
seperti bangunan yang tersusun kukuh (as-saff::4)
Sabda Nabi s.a.w.:
“Orang mukmin sesama mereka seperti sebuah binaan
yang saling kuat menguatkan antara satu sama lain”.
3. Mengawal Diri
Puasa Ramadhan adalah pengendalian diri dari hal-hal
yang pokok seperti makan dan minum. Kemampuan kita dalam mengendalikan diri
dari hal-hal yang pokok semestinya membuat kita mampu mengendalikan diri dari
hal yang kurang pokok dan tidak perlu sama sekali.
Tapi sayangnya, ramai orang telah dilatih untuk menahan
makan dan minum yang sebenarnya pokok, tapi tidak dapat menahan diri dari
hal-hal yang tidak pokok, misalnya rokok. Ada orang yang mengatakan: “saya lebih baik tidak makan
daripada tidak merokok”, padahal makan itu perkara pokok dan merokok itu tidak perlu.
Sabda Nabi s.a.w.:
“Di antara tanda kebaikan Islam seseorang ialah dia
meninggalkan sesuatu yang tidak bermanfaat kepada dirinya”(riwayat Tirmizi)
4. Akhlak Mulia
Ramadhan mendidik kita supaya berakhlak yang mulia, kerananya
keberhasilan ibadah Ramadhan membuat akhlak atau moral yang tercela terkikis
habis dari jiwa dan kepribadian kita. Maka sesudah kita menunaikan ibadah
Ramadhan, keberhasilan yang harus kita tunjukkan adalah dengan memiliki akhlak
yang mulia.
Sabda Nabi s.a.w.:
“Apabila seseorang berpuasa, maka janganlah dia
mengucapkan perkataan yang kotor dan jangan pula bertengkar. Sekiranya dia
dimaki oleh seseorang atau diajak bergaduh maka hendaklah dia berkata:
“Sesungguhnya saya sedang berpuasa.” (Hadith
Riwayat Bukhari dan Muslim).
Oleh kerana itu kita harus prihatin apabila masyarakat
kita sekarang tidak berakhlak mulia. Masa depan kita akan malap kalau generasi
muda memiliki akhlak yang rosak, kerana apa yang boleh diharapkan lagi kalau akhlak
generasi kita hancur.
Seorang penyair ada berkata:
“Sesungguhnya ummah itu selagi akhlaknya ada, jika hilang
akhlak maka mereka turut lenyap.”
5. Memakmurkan Masjid
Ramadhan juga telah melatih kita untuk kembali ke
masjid, kembali memakmurkan masjid, kembali beraktiviti di masjid. Sepanjang Ramadhan,
kita lihat masjid-masjid dipenuhi jamaah. Berakhirnya Ramadhan tidak seharusnya
menjadikan masjid kita kembali sunyi. Antara tanda berhasilnya tarbiyyah
Ramadhan ialah dapat dilihat dari perilaku kita yang istiqamah memakmurkan
masjid.
Dalam satu khutbah idil fitr, As syeikh Dr. Yusuf
al-Qardhawi pernah mengatakan:
“Barangsiapa menyembah Ramadhan, maka sesungguhnya
Ramadhan telah pergi. Namun barangsiapa yang menyembah Allah, maka Allah tetap
hidup dan tidak akan pernah mati.”
PENUTUP
Rijal yang disebut
sebagai jil quran tidak akan terhasil tanpa melalui proses jihad dan tarbiyyah,
manakala tarbiyyah tidak akan memberi sebarang kesan tanpa penghayatan dan
praktik yang bersungguh-sungguh. Ramadhan merupakan satu peluang keemasan untuk
kita melalui kedua-dua proses ini dan seterusnya mengecapi hasil yang
membanggakan.
Sabda Rasulullah s.a.w.
“Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan
yang penuh keberkatan. Allah telah memfardukan ke atas kamu puasanya. Di dalam
bulan Ramadhan dibuka segala pintu syurga dan dikunci segala pintu neraka dan
diikat syaitan-syaitan. Padanya ada suatu malam yang lebih baik dari seribu
bulan. Barangsiapa tidak diberikan kepadanya kebaikan malam itu maka
sesungguhnya dia telah dijauhkan dari kebajikan.”
“SELAMAT MANYAMBUT BULAN RAMDHAN”
كل عام وأنتم بخير