Kita hendaklah mencintai Allah dan rasul lebih daripada yang lain. Jika cinta seseorang itu tehadap sesuatu melebihi cinta kepada Allah dan rasulnya, maka ianya tidak selari dengan nas al-quran. Firman Allah swt:
Katakanlah: "Jika bapa-bapa , anak-anak , saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan RasulNya dan dari berjihad di jalan nya, Maka tunggulah sampai Allah mendatangkan Keputusan NYA". dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.(at taubah:24)
Bercinta mengikut cara Islam tidaklah susah. Jika seorang lelaki berkenan kepada seseorang perempuan maka hendaklah ia menunaikan solat hajat atau istikharah. minta petunjuk daripada Allah swt. Setelah keputusannya bulat, hendaklah ia meminang gadis itu melalui ibubapanya atau secara terus kepada perempuan tersebut, seterusnya melangsungkan perkahwinan.
Setelah berkahwin bolehlah suami bercinta dengan isterinya sebanyak mana yang ia mahu. Inilah satu-satu caranya bercinta dalam Islam, bukan sebagaimana yang banyak berlaku sekarang, dilamun cinta bertahun-tahun sehinga terlanjur yang membawa kepada masalah sosial yang parah.
Berdating bererti menghampiri zina. Dalam Islam seseorang itu dilarang keras dari menghampiri perzinaan. Oleh kerana zina itu mendatangkan dosa besar, maka melakukan perbuatan yang boleh membawa kepada zina termasuklah dating adalah haram dan berdosa.
Firman Allah swt:
Dan janganlah kamu mendekati zina; Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. dan suatu jalan yang buruk. (Al isra':32)
Termasuk ke dalam ertikata berkhalwat yang dilarang ialah berbual di dalam telefon dengan perempuan yang bukan mahram, sambil menyatakan perasaan hati masing-masing tanpa tujuan yang syar'i, kerana ia menjadi jalan ke arah khalwat dan khalwat menjadi jalan ke arah perzinaan.
Satu kaedah menjelaskan "Sesuatu yang boleh membawa kepada haram maka hukumnya adalah haram". Sehubungan dengan itu seseorang lelaki Islam hendaklah menjauhkan perkara ini untuk mendapatkan keselamatan diri.
Jika sekadar bertanya perempuan tentang penetapan tarikh perkahwinan, beberapa ramai yang hendak datang, berapa dulang nak bawa, hari apa majlis itu hendak diadakan dan lain-lain yang ada hubungan dengan urusan perkahwinan, dan masanya pula tidak lama, tanpa pula ada kata-kata yang menghairahkan, maka hukumnya adalah harus.
Marilah sama-sama kita uruskan cinta ke arah mencari reda Allah. Kepada wanita, berhati-hatilah dengan cinta yang dilafazkan oleh lelaki. Saya menasihati kalian bukan kerana nak jaga tepi kain, tapi nak jaga yang dalam kain. Tiada cinta kecuali selepas kahwin.