Pada tahun ini saya berkesempatan mengimami solat tarawih sepenuhnya di Masjid Pekan Keningau. Saya juga menjadi imam solat idil fitri dan seterusnya menyampaikan khutbah kepada para jamaah yang hadir .
Menyambut Ramadhan dan Syawal di sini memang tidak sama dengan menyambutnya di kampung saya mahupun di UIAM, tempat saya menyambung pelajaran sarjana saya dalam tempoh dua tahun yang lalu.
Alhamdulillah, pada pemerhatian saya Keningau adalah satu bahagian di Sabah yang cukup subur dengan amalan agamanya. Orang-orang tua mahupun anak-anak muda bersama-sama mengimarahkan masjid.
Masjid Pekan Keningau cukup meriah dengan solat jemaah lima waktu, kuliah-kuliah Maghrib dan aktiviti-aktiviti kerohanian yang lain. Kemeriahan akan lebih terasa apabila tiba bulan Ramadhan. Malam-malam terawih dipenuhi dengan para jamaah.
Satu pemandangan yang lebih menarik lagi ialah semasa solat idil fitri. Para jamaah akan berduyun-duyun datang memenuhi masjid, jalan raya, ruang parkig dan padang bersebelahan masjid.
Syukur kepada Allah. Syiar Islam di sini cukup baik, Cuma kefahaman tentang Islam perlu dipertingkatkan lagi. Justeru ianya memerlukan komitmen yang tinggi daripada semua pihak yang cintakan Islam.
Antara yang perlu diperjelaskan kepada masyrakat Islam di sini ialah beza antara budaya, adat dan ibadat. Ramai yang menjadikan ibadat sebagai adat semata. Ruh ibadat tidak dapat dicernakan dengan baik.
Disamping itu pengetahuan tentang ilmu Islam perlu dipelajari oleh masyarakat Islam supaya semangat beramal ini bertepatan dengan syariat dan dikira pahala oleh Allah SWT. Ilmu mesti mendahului amal.
Ada dikalangan jamaah yang datang solat tarawih tetapi tidak menunaikan isya'. Kemungkinan mereka terpukau dengan hadis palsu berkenaan kelebihan solat tarawih, menyebabkan mereka malas solat isya'.
Berkenaan ibadat menunaikan zakat pula saya cukup kagum kerana kesedaran tentangnya amat tinggi. Di sini tidak perlu dibanci seperti di kampung saya. Mereka datang dari segenap pelusuk untuk berzakat.
Cumanya saya tegur jugalah ada yang datang berzakat masuk masjid dengan pakaian seksi yang mencolok mata. Waktu solat tak solat. Ada yang bawa benda-benda sampingan seperti lilin untuk dibakar semasa menunaikan zakat.
Waktu solat sunat idil fitri lagi lagi terserlah syiarnya. Cumanya saya rasa sedih juga melihat mereka tidak solat subuh. Ya! Ada para jamaah yang datang seawal waktu subuh untuk mendapatkan tempat selesa di dalam masjid tetapi tidak solat subuh.
Macam-macam ragam dan gaya saya perhatikan dalam menyambut idal fitri di Keningau ini. Kemuncaknya yang saya tak ada di kampung saya ialah saya diserbu oleh jamaah untuk bersalaman. Nasib baik ada petugas yang mengawal. Kalau tidak mungkin saya pengsan!
Apapun saya berdoa agar ruh Islam berkembang mekar di bumi Keningau ini. Semoga Allah merahmati penduduk ini dan menerima amalan kami yang serba kekurangan ini dan lulus cemerlang dalam madrasah Ramadhan kali ini.
تقبل الله منا و منكم وكل عام وأنتم بخير