"SEBARKANLAH SALAM DI ANTARA KALIAN"

Monday, August 31, 2009

Merdeka

Kuliah Hujung Minggu


Pada 8 Ramadhan 1430 saya menyampaikan Kuliah Hujung Minggu(KULHUM) kepada para jemaah Masjid Kampung Padang Bongor. Sudah lama saya tidak berkuliah di masjid kampung kelahiran saya ini. Berkhutbah pun sudah tidak dibenarkan lagi. Kali terakhir saya berkhutbah di masjid ini ialah pada punghujung 2007 yang lampau.

Saya berada di kampung, rehat sekejap setelah selesai bentang proposal saya di UIA. Perjalanan masih panjang. Baki cuti belajar saya akan berakhir bulan November depan. Harap dapat habiskan dalam tempoh yang diberikan. Ya Allah! Berikan kepadaku kekuatan.

Kembali kepada KULHUM. Saya berkongsi ilmu berkenaan Ramadhan ini. Ramadhan adalah bulan pengampunan. Justeru marilah sama-sama kita merebut peluang dan ruang yang disediakan ini untuk mencapai pegampunan Allah SWT. Firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 133 yang bermaksud:

Dan bersegeralah kamu kepada pengampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang lebarnya selebar langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa,

Syurga disediakan oleh Allah untuk orang yang bertakwa, orang yang bersih dirinya daripada noda dan dosa. Setiap manusia tidak terlepas daripada melakukan dosa. Sebab itu kita perlu minta ampun kepada Allah SWT. Para anbiya’ pun berdoa meminta ampun.

Lihat ungkapan doa Nabi Adam(surah al-a’raf:23)

قَالَا رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا وَإِنْ لَمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Keduanya berkata: "Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya pastilah kami termasuk orang-orang yang rugi.

Nabi Ibrahim berdoa(surah Ibrahim:41)

رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Ya Tuhan kami, beri ampunlah Aku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang mukmin pada hari terjadinya hisab (hari kiamat)".

Nabi Nuh berdoa(surah Nuh:28)

رَبِّ اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِمَنْ دَخَلَ بَيْتِيَ مُؤْمِنًا وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ وَلَا تَزِدِ الظَّالِمِينَ إِلَّا تَبَارًا

Ya Tuhanku! ampunilah aku, ibu bapaku, orang yang masuk ke rumahku dengan beriman dan semua orang yang beriman laki-laki dan perempuan. dan janganlah Engkau tambahkan bagi orang-orang yang zalim itu selain kebinasaan".

Nabi Muhammad SAW beristighfar dan meminta ampun kepada Allah SWT tidak kurang daripada tujuh puluh kali satu hari dalam keadaan baginda diberi jaminan syurga dan maksum tiadak melakukan sebarang noda dan dosa.

Rebutlah pelung Ramadhan ini dengan melakukan amal ibadah. Dapatkan barakah, margfirah dalam bulan ini. Amat rugi manusia yang menjalani Ramadhan kemudian meninggalkan Ramadhan dalam keadaan dosa tidak terampun.

Saya juga memberikan beberapa perkara yang perlu diperbanyakkan pada bulan Ramadhan. Apa yang patut dilakukan berpandukan kepada firman Allah berkenaan ayat siyam.(al-baqarah 183 hingga 186)

Akhir sekali saya mengcadangkan kepada jemaah agar kuliah dihidupkan sepanjang Ramadhan. Adakan Kuliah Hujung Minggu(KULHUM), Kuliah Tujuh Minit(KULTUM), amalan solat malam dan lain-lain. Semoga kita menang dalam Madrasah Ramadhan.

Friday, August 28, 2009

Tazkirah ringkas

Majlis Iftar bersama INTIS di LR7, IRK IIUM pada 26.08.09
Tazkirah ringkas sebelum berbuka


Ramadhan Syahrus siyam(رمضان شهر الصيام)

Allah SWT berfirman(al-baqarah:183)
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa,


Ramadhan Syahrul Quran(رمضان شهر القرآن)
Allah SWT berfirman(al-baqarah:185)

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآَنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
(beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang bathil). Karena itu, barangsiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, Maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), Maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.


Ramadhan Syahrul Qiyam(رمضان شهر القيام)

Nabi SAW besabda:

من قام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه

Sesiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan maka diampun dosa-dosanya yang lampau

Wednesday, August 26, 2009

Puasa

TAKRIF PUASA

Puasa pada bahasa ialah menahan. Dalam istilah syarak beerti menahan nafsu daripada segala yang membukakan puasa pada siang hari bermula dari terbit fajar Sodiq hingga terbenam matahari.


PUASA YANG WAJIB

Terdapat beberapa jenis puasa yang diwajibkan oleh ALlah ke atas umat Islam;
a.Puasa Ramadan di bulan Ramadan al-Mubarak pada setiap tahun
b.Puasa Nazar.
c.Puasa Kaffarah kerana sebab-sebab berikut;
•Jimak di siang hari bulan Ramadan.
•Zihar (isteri diserupakan dengan ibu).
•Melanggar sumpah.
•Kerana membunuh manusia yang diharamkan secara disengajakan atau tersalah.


SYARAT-SYARAT WAJIB PUASA

1-Islam, tidak sah ke atas orang kafir.
2-Berakal, tidak wajib ke atas orang gila.
3-Baligh, tidak wajib ke atas kanak-kanak.
4-Berkemampuan, tidak wajib ke atas orang yang sakit.

RasuluLlah saw bersabda,

رُفِعَ القلمُ عن ثلاثةِ عن الصَّبِيِّ حَتَّى يَبْلُغَ وعَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ وعن المَجْنُونِ حَتَّى يَفِيقَ

Maksudnya, “ Diangkat pen (tuntutan hukum) daripada orang iaitu kanak-kanak hingga dia baligh, orang yang tidur hingga dia sedar dan orang gila hingga dia sembuh”.
Riwayat Abu Dawud dan Nasai


Yang Mewajibkan Puasa

Pertama :Kerana telah melihat awal bulan Ramadan (Ru’yah al-Hilal) dengan pandangan mata yang zohir. Sebagaimana firman ALlah dalam surah al-Baqarah ayat 185.

فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمْ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ
Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu;

Nabi saw juga ada bersabda,

صوموا لرؤية وافطروا لرؤية فإن غم عليكم فاكملوا عدة شعبان ثلاثين يوما

Maksudnya, “ Puasalah kamu kerana telah melihat bulan dan berbukalah kamu kerana melihat bulan; apabila bulan itu tertutup (kerana awan tebal) maka sempurnakanlah bilangan bulan Sya’ban tiga puluh hari”. Riwayat al-Bukhari dan Muslim.


Kedua :Dengan perkiraan (hisab). ALlah berfirman,

هُوَ الَّذِي جَعَلَ الشَّمْسَ ضِيَاءً وَالْقَمَرَ نُورًا وَقَدَّرَهُ مَنَازِلَ لِتَعْلَمُوا عَدَدَ السِّنِينَ وَالْحِسَابَ
مَا خَلَقَ اللَّهُ ذَلِكَ إِلا بِالْحَقِّ يُفَصِّلُ الآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

“Dia lah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya, dan Dia lah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-randah) pada tempat-tempat peredarannya masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-ayatNya (tanda-tanda kebesaranNya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikanNya)”. [Yunus : 5 ]


Menurut Syafie untuk رُؤْيَةُ الْهِلاَلِ ( Rukyat al-Hilal) cukup dengan seorang saksi. Manakala untuk hilal berbuka sebaran harus dua orang saksi.


Yang Membatalkan Puasa

Di antara perkara yang membatalkan puasa ialah;

1.Memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga badan seperti lubang hidung, mulut, dubur dan telinga.
2.Jimak (persetubuhan) di siang hari Ramadan dengan kemahuan sendiri kecuali timbul talazzuz.
3.Muntah dengan sengaja seperti menjolok-jolok jari ke dalam kerongkong.
4.Istimna’ iaitu mengeluarkan mani dengan sengaja.
5.Kedatangan haid dan nifas.
6.Gila atau pitam sepanjang hari.
7.Murtad yakni keluar daripada Islam.


TERTIB PUASA

Puasa tidak sempurna tanpa mengikut tertibnya. Di antaranya ialah:
•Memelihara lidah agar tidak menipu, mencaci. Mengekang mata dan telinga daripada yang haram.
•Menahan perut daripada makan-minum haram dan syubhat. Carilah rezeki yang halal supaya berbuka puasa dengan yang halal. Jadi, perhatikanlah apa, siapa dan di mana anda berbuka.
•Memelihara semua anggota daripada berbuat maksiat.

Ramai mereka yang berpuasa tetapi hanya mendapat lapar dan dahaga semata-mata. Sabda Nabi saw, كم من صائم ليس له من صيامه إلا الجوع والعطش
[ Berapa ramai orang yang berpuasa , tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga ].

•Hendaklah tidak terlalu banyak tidur di waktu siang hari dan terlalu banyak makan di waktu malam hari.


•Meninggalkan segala kemewahan dalam makan minum sekurang-kurangnya sama seperti bulan biasa. Jangan sampai berdendam dengan puasa.
•Memperbanyakkan amal ibadat, zikir dan tilawah.
•Dan lain-lain.


RUPA DAN RUH PUASA

Rupa Puasa ialah menahan diri dari makan minum, berjimak dan perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar hingga terbenam matahari.
Ruh Puasa ialah menahan diri dari segala jenis dosa dan larangan ALlah serta sentiasa mengerja yang fardu dan wajib.


SUNAT-SUNAT PUASA

•Makan sahur, di dalam makan sahur adanya keberkatan.
Sabda Nabi saw, تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِى السَّحُورِ بَرَكَةً
Maksudnya, “ Bersahurlah kamu, maka sesungguhnya pada makan sahur itu ada
keberkatan”. Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Waktu untuk makan sahur ialah sehingga terbit fajar Sodiq. Lihat firman ALlah di dalam surah
al-Baqarah ayat 187,

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمْ الْخَيْطُ الأَبْيَضُ مِنْ الْخَيْطِ الأَسْوَدِ مِنْ الْفَجْرِ
“….dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar…..”


•Melewatkan makan sahur
•Segera berbuka puasa apabila masuk waktunya.
•Memperbanyakkan membaca al-Quran
•Memperbanyakkan sedekah
•Menunaikan solat Tarawih
•Mengadakan majlis Iftar ( jamuan berbuka puasa).
•Dan lain-lain.


KHATIMAH

إذا جاء شهر رمضانَ فتحت أبواب الجنة وغلقت أبواب النار وصفدت الشياطين
[ Apabila datang bulan Ramadan, dibukakan pintu-pintu syurga, dikunci pintu-pintu neraka dan terbelenggulah syaitan-syaitan ] Riwayat Bukhari dan Muslim.

(artikel ini dipetik daripada koleksi tarbiah Ust. Yusof Embong)

Monday, August 24, 2009

Perbanyakkan amal pada bulan Ramadhan


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Bulan Ramadhan adalah bulan yang paling mulia di dalam Islam.Bulan yang amat dinantikan oleh orang beriman. Bulan yang penuh dengan keberkatan. Bulan pengampunan. Bulan limpahan kurnia Allah SWT kepada para hamba-Nya. Semoga kita mendapat kemenangan di dalam madrasah Ramadhan ini.

Wednesday, August 19, 2009

Ramadhan menjelma lagi

عن أبي هريرة رضي الله عنه ؛ أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال

(إذا جاء رمضان فتحت أبواب الجنة، وغلقت أبواب النار، وصفدت الشياطين.(مسلم


Daripada Abi Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda “Apabila datang Bulan Ramadhan pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup, syaitan-syaitan dirantai.(Muslim)

Saturday, August 15, 2009

Wanita bermadu dan payung emas

Kita selalu mendengar bahawa wanita bermadu akan memperoleh payung emas kelak pada hari akhirat. Ayat ini selalu menjadi modal kepada suami apabila memujuk isterinya untuk kahwin lagi kononya ini adalah hadis nabi tentang fadhilat yang diberikan oleh Allah kepada isteri yang bermadu.

Tidak ramai di kalangan kita samada lelaki(suami) mahupun perempuan(isteri) yang mahu menyelidiki kebenaran "hadis" tersebut. Saya sendiri setakat yang saya pelajari tentang nikah kahwin, bab berpoligami ataupun yang berkaitan, belum saya belajar tentang payung emas ini. Cuma memang saya pernah mendengar (bukan belajar) kata orang bahawa wanita bermadu dapat payung emas pada hari akhirat.

Jadi dari mana punca kata-kata ini? Saya tak tahu, Wallahu a’lam. Mungkin hadis yang saya belum jumpa, mungkin kata-kata sahabat, mungkin kata-kata tabiin, mungkin kata-kata ahli tarikat dan tasawwuf atau mungkin juga kata-kata ini hanya berlegar di kalangan kita orang-orang Melayu di Nusantara. Wallahu a’lam.

Cuma perlu ditegaskan di sini bahawa berpoligami adalah satu hukum yang memang ada di dalam Islam. Ia adalah ketetapan daripada Allah. Saya bimbang wanita yang menentang poligami ini termasuk orang yang menentang hukum Allah. Wal i’yazubillah. Allah bagitahu: (al-nisa’:3)

Dan jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil terhadap (hak-hak) perempuan yang yatim (bilamana kamu mengawininya), maka kahwinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi : dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kawinilah) seorang saja, atau budak-budak yang kamu miliki. yang demikian itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya.

Berlaku adil ialah perlakuan yang adil dalam melayani isteri seperti pakaian, tempat, giliran dan lain-lain yang bersifat lahiriyah. Islam mengharuskan poligami dengan syarat-syarat tertentu. Sebelum turun ayat ini poligami sudah ada, dan pernah pula dijalankan oleh para nabi sebelum nabi Muhammad s.a.w. ayat Ini membatasi poligami sampai empat orang saja kepada umat Nabi Muhammad SAW.

Kepada kaum Hawa, bersyukurlah kerana anda dijadikan wanita. Bersyukurlah dan redhalah jika ditakdirkan anda berkongsi suami. Wanita-wanita yang belum bersuami adalah saudara seagama anda. Mereka juga perlukan jagaan dan belaian daripada lelaki bernama suami.

Bagi lelaki yang nak berpoligami kena ingat, Allah SWT bagitahu: (al-nisa’:129)

Dan kamu sekali-kali tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri(mu), walaupun kamu sangat ingin berbuat demikian, Karena itu janganlah kamu terlalu cenderung (kepada yang kamu cintai), sehingga kamu biarkan yang lain tergantung-gantung. Dan jika kamu mengadakan perbaikan dan memelihara diri (dari kecurangan), maka Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Orang lelaki ini kalau bab poligami katanya nak ikut sunnah tapi dalam bab lain semuanya punah ranah. Kalau betul lelaki ikut sunnah, Insya Allah kehidupan akan terarah, benda yang susah jadi mudah, nak kahwin dua isteri tak marah, Macam Nabi Ibrahim dengan Sarah!

Forum Bicara Aqidah



Alhamdulillah, semalam saya bersama Ustaz Anwar Ridwan(pensyarah UM) dijemput sebagai panel Forum Bicara Aqidah bertempat di Kolej 14, Dewan Putera 2, UPM. Banyak isu berkaitan dikupas dalam forum tersebut. Di sini saya sertakan soalan-soalan yang diajukan kepada ahli-ahli panel.



Soalan daripada moderator

Pusingan pertama
1)Apakah kepentingan akidah dalam konteks kehidupan kini? (ustz Rusli)
2)Mengapa kita perlu kepada akidah? (ustz Anwar)
3)Setiap manusia beriman kepada Allah kecuali golongan atheis. Namun mengapakah terdapatnya perbezaan akidah diantara satu agama dengan yang lain, apakah wujud titik persamaan di antara akidah atau bagaimana?(ustz Rusli)

Pusingan ke-2
1)Benarkah akidah itu dapat membimbing manusia ke arah kecemerlangan dan ketenangan? (ustz Anwar)
2)Hari ini kedapatan banyak ajaran sesat yang menyimpang daripada kebenaran. Jadi, bagaimanakah cara untuk mengenalpastinya agar kita tidak terjebak dalam kesesatan? (ustz Rusli)
3)Apakah kesan akidah terhadap pembentukan akhlak remaja? (ustz Anwar)

Pusingan ke-3
1)Apakah punca berlakunya krisis akidah dalam kalangan mahasiswa? (ustz Rusli)
2)Bagaimana cara untuk mengembalikan penghayatan terhadap akidah kepada Allah SWT?(ustz Anwar)
3)Apakah langkah-langkah yang boleh dilakukan bagi memantapkan akidah seorang pelajar?(ustz Rusli)
4)Jikalau kita melihat pada masalah sosial yang semakin meruncing dari hari ke hari, dimana silapnya? Apakah ini menunjukkan bahawa akidah kita kian luntur?(ustz Anwar)

Soalan daripada para hadirin
1)Bagaimanakah cara menangani perkembangan pemikiran yang menyimpang daripada Islam seperti Islam liberal, freemason dan lain-lain?
2)Di dalam sejarah kita lihat ramai orang yang baru memeluk Islam mempunyai pegangan aqidah yang kuat sehingga sanggup mati mempertahankan aqidah. Contohnya para tukang sihir Fir’aun, Keluarga Yasir dan lain-lain. Soalan saya, kenapa umat Islam sekarang yang sudah lama memeluk Islam tetapi aqidahnya longgar?
3)Kita mengucap dua kalimah syahadah"Aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad pesuruh Alla" Soalan saya, bagaimana kita menjadi saksi sedangkan Allah dan Nabi kita tak dapat lihat?
4)Ada pandangan mengatakan bahawa konsep tauhid uluhiyyah menyimpang daripada Islam. Apa pandangan ahli panel?
5)Bolehkah cinta kita kepada orang lain melebihi daripada cinta Allah dan Rasul?
6)Saya mempunyai rakan sebilik yang beragama Kristian. Apabila saya solat atau baca Quran di dalam bilik, kawan saya akan rasa gelisah dan tak tenang hati. Apakah yang patut saya lakukan? Perlukah saya mempelajari Kristian untuk berdakwah kepada kawan saya ini?

Tuesday, August 11, 2009

Solat berjamaah adalah salah satu jalan-jalan petunjuk

HARIS(Halaqah Riyadus solihin)

HARIS pada 07.08.09 yang lepas, bertempat di Masjid UIA masih lagi membincangkan berkenaan kelebihan solat berjamaah. Dua hadis terakhir daripada bab dibincang. Hadis pertama berbunyi:

حدثنا أبو بكر بن أبي شيبة. حدثنا الفضل بن دكين عن أبي العميس، عن علي بن الأقمر، عن أبي الأحوص، عن عبدالله؛ قال
من سره أن يلقى الله غدا مسلما فليحافظ على هؤلاء الصلوات حيث ينادى بهن. فإن الله شرع لنبيكم صلى الله عليه وسلم سنن الهدى وإنهن من سنن الهدى. ولو أنكم صليتم في بيوتكم كما يصلي هذا المتخلف في بيته لتركتم سنة نبيكم. ولو تركتم سنة نبيكم لضللتم. وما من رجل يتطهر فيحسن الطهور ثم يعمد إلى مسجد من هذه المساجد إلا كتب الله له بكل خطوة يخطوها حسنة. ويرفعه بها درجة. ويحط عنه بها سيئة. ولقد رأيتنا وما يتخلف عنها إلا منافق، معلوم النفاق. ولقد كان الرجل يؤتى به يهادى بين الرجلين حتى يقام في الصف

Diriwayatkan daripada Abdilah bin Mas’ud R.A katanya "Sesiapa yang mahu menemui Allah SWT pada hari esok(akhirat) dalam keadaan muslim, maka hendaklah dia memelihara solat fardhunya dengan mengerjakannya di tempat azan dilaungkan. Allah SWT telah mengsyariatkan kepada nabi kamu jalan-jalan petunjuk dan sesungguhnya solat berjamaah itu adalah salah satu daripada jalan-jalan petunjuk. Jika kamu bersolat di rumah kamu sebagaimana yang dilakukan oleh mereka yang meninggalkan jamaah maka sesungguhnya kamu telah meninggalkan sunah nabi kamu dan apabila kamu meninggalkan sunah nabi kamu nescaya sesatlah kamu. Apabila seseorang bersuci dengan sempurna kemudian dia melangkah ke masjid maka bagi setiap langkah yang dilangkahinya akan ditulis untuknya satu pahala dan diangkat satu darajat dan dihapus satu dosa. Sesungguhua aku melihat dikalangan kita ini bahawa tiada seorang pun yang meninggalkan jamaah kecuali orang munafik yang telah maklum kemunafikannya. Adalah seorang lelaki dipimpin oleh dua orang lain supaya dapat masuk saf berjamaah."
(hadis riwayat : IMAM MUSLIM, ABU DAUD, NASAI DAN IBNU MAJAH)

Imam Muslim meletakkan hadis ini dalam bab “Solat berjamaah daripada jalan-jalan petunjuk”. Imam Abu Daud dalam riwayatnya menyebut ..."dan apabila kamu meninggalkan sunnah nabi kamu nescaya kufurlah kamu."

Saya menyeru kepada para pencinta sunnah nabi supaya mengambil berat soal solat jamaah. Kebanyakan ahli hadis mengatakan bahawa solat berjamaah adalah wajib bagi setiap orang Islam. Banyak hadis sahih menggesa supaya melakukan solat berjamaah dan mencela orang yang tidak menyertainya. Nak beramal dengan hadis sohih-SAMA-SAMA IMARAH MASJID!

Wednesday, August 5, 2009

Beribadat pada malam nisfu Sya'ban

Firman Allah SWT yang bermaksud:

Dan pada sebahagian malam hari bersembahyang tahajudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu; Mudah-mudahan Tuhan-mu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.(al-isra:79’)


Dan frman-Nya lagi yang bermaksud:

Hai orang yang berselimut (Muhammad), bangunlah (untuk sembahyang) di malam hari, kecuali sedikit (daripadanya),(al-muzzammil:1 – 2)


Dan juga firman-Nya:

Di dunia mereka sedikit sekali tidur diwaktu malam. Dan selalu memohonkan ampunan diwaktu pagi sebelum fajar.(az-zariyat:17 – 18)


Firman-firman Allah tadi di antara lain menyuruh kita melakukan ibadah malam sebagai ibdah tambahan kepada kita. Allah puji orang yang bangun malam untuk beribadah kepada-Nya. Banyak hadis sahih yang menggalakkan kita menghidupkan malam dengan beribadah kepada Allah.


Berkenaan dengan beribadah pada malam nisfu Sya’ban pula ada beberapa hadis tentang kelebihan malam tersebut dan anjuran menghidupkan malamnya. Di antaranya ialah:

يطلع الله إلى خلقه في ليلة النصف من شعبان إلا لمشرك أو مشاحن

Allah melihat kepada hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hamba-Nya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci) (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain).


Al-Albani menilaikan hadis ini sebagai sahih sebagaiamana yang terdapat di dalam Silsilah al-Ahadis al-Sahihah. Di dalam hadis ini tidak dinyatakan secara khusus cara beribadat kepda Allah SWT.

Di dalam Sunan Ibn Majah ada satu bab:

باب ما جاء في ليلة النصف من شعبان
عن علي بن أبي طالب؛ قال:
- قال رسول الله صلى الله عليه وسلم ((إذا كانت ليلة النصف من شعبان، فقوموا ليلها وصوموا نهارها.)).


Bab berkenaan dengan malam nisfi Sya’ban


Daripada Ali bi Abi Talib katanya Sabda Nabi SAW "Apabila tiba malam nifu Sya’ban maka beribadatlah pada malamnya dan berpuasalah pada siangnya".

Hadis ini sanadnya dhaif.


Dr. Yusuf al-Qardhawi apabila ditanya berhubung dengan dengan malam Nisfu Sya’ban di antara lain beliau menhjawab: “Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam Nisfu Syaaban, membaca doa tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam.”


Menghidupkan malam dengan ibadat sunah adalah amat digalakkan di dalam Islam, bahkan ia merupakan kebiasaan orang-orang soleh.

عن أبي هريرة؛ أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال:
"ينزل ربنا تبارك وتعالى كل ليلة إلى السماء الدنيا. حين يبقى ثلث الليل الآخر. فيقول: من يدعوني فأستجيب له! ومن يسألني فأعطيه! ومن يستغفرني فأغفر له!".


Allah turun SETIAP MALAM ke langit dunia ketika waktu akhir sepertiga malam seraya berfirman : "Sesiapa yang berdoa akan kukabulkan, sesiapa yang meminta akan kuberi, sesiapa yang minta ampun akan kuampunkan. Hadis ini terdapat di dalam Sohih Muslim.


Berkenaan dengan beribadat pada malam nisfu Sya’ban maka ia juga termasuk di dalam hadis sohih riwayat Muslim tadi. Jadi bagi yang tak mahu beramal dengan hadis dhaif tentang beribadat pada malam nisfu Sya’ban maka bagaimana dengan hadis sohih riwayat Muslim ini?


Amat rugi bagi yang tidak menghidupkan malam nisfu Sya’ban kerana mengatakan hadis dhaif sedangkan malam-malam lain pun tak buat juga. Bertambah rugi lagi kita pada malam nisfu sibuk layan game dan internet yang tidak memberi faedah sedangkan orang lain berlumba-lumba meminta keampunan daripada Allah.

Tuesday, August 4, 2009

Buat diri yang lalai

Dalam ayat pertama surah at-takathur Allah SWT berfirman mafhumnya:

"Bermegah-megahan Telah melalaikan kamu".

Maksudnya: Bermegah-megahan dalam soal mengumpul banyak harta kekayaan, anak, pengikut, kemuliaan, pangkat dan seumpamanya telah melalaikan kamu dari mentaati Allah SWT. Dalam ayat lain Allah SWT bagitahu:

اعْلَمُوا أَنَّمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَزِينَةٌ وَتَفَاخُرٌ بَيْنَكُمْ وَتَكَاثُرٌ فِي الْأَمْوَالِ وَالْأَوْلَادِ كَمَثَلِ غَيْثٍ أَعْجَبَ الْكُفَّارَ نَبَاتُهُ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَاهُ مُصْفَرًّا ثُمَّ يَكُونُ حُطَامًا وَفِي الْآَخِرَةِ عَذَابٌ شَدِيدٌ وَمَغْفِرَةٌ مِنَ اللَّهِ وَرِضْوَانٌ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ

Ketahuilah, bahwa sesungguhnya kehidupan dunia Ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah- megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; Kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning Kemudian menjadi hancur. dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keredhaan-Nya. dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.(al-hadid:20)

Ramai manusia terpedaya dengan dunia yang sementara ini. Mereka sibuk dengan dunia. Sibuk menghitung harta, lalai dengan kemewahan, asyik dengan nikmat sementara sehingga lupa akhirat sana. Kita bagga dengan harta yang ada. Kita kata ini harta kita. Kita cari dengan hasil titik peluh kita. Bangga kita dengan harta dan wanita mahupun takhta. Ingatlah, bahawa Nabi SAW ada bersabda:

يقول ابن آدم, مالي مالي وهل لك من مالك إلا ما تصدقت فأمضيت أو أكلت فأفنيت أو لبثت فأبليت

Anak Adam itu berkata, 'Hartaku, hartaku!'. Padahal harta yang benar-benar menjadi milikmu itu ialah apa-apa yang engkau sedekahkan lalu engkau lampaukan, apa-apa yang engkau makan lalu engkau habiskan, apa-apa yang engkau pakai, lalu engkau rosakkan.

Itulah hakikat harta yang kita banggakan. Apabila mati bukan jadi harta kita lagi. Sudah menjadi harta yang diwarisi. Di kubur kita seorang diri tanpa harta di sisi, tanpa anak isteri. Masing-masing nafsi-nafsi.

Doa Nabi Ibrahim:

Dan janganlah Engkau hinakan aku pada hari mereka dibangkitkan,(yaitu) pada hari harta dan anak-anak laki-laki tidak berguna, kecuali orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang bersih,(as-syuara’:87 -89)